Gugur janin kerana Zika: Majlis fatwa perlu capai kata sepakat

Gugur janin kerana Zika: Majlis fatwa perlu capai kata sepakat

Subramaniam berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan perlu membuat satu pendirian jelas kerana isu itu membabitkan bidang perubatan dan agama.

Subramaniam_zika_women
KUALA LUMPUR:
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam meminta Majlis Fatwa Kebangsaan membincangkan pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi mencapai kata sepakat berhubung hukum menggugurkan janin bagi ibu dijangkiti virus Zika.

“Menurut undang-undang sedia ada, kita hanya membenarkan pengguguran sekiranya ia membahayakan ibu mengandung.

“Saya menerima pandangan beliau (mufti). Namun, perlu ada satu pendirian agama jelas kerana isu ini bukan sahaja melibatkan mereka yang berada dalam bidang perubatan, tetapi agama juga,” katanya selepas merasmikan Persidangan Saintifik Kesihatan Bersekutu 2016 hari ini.

Semalam, Zulkifli dilaporkan berkata, wanita Islam boleh menggugurkan kandungan mereka belum mencapai usia 120 hari, jika dijangkiti virus Zika yang boleh memudaratkan kehidupan keluarga atau bayi itu sendiri.

Ditanya sama ada kerajaan akan mewajibkan wanita mengandung yang mengunjungi negara terjejas virus Zika membuat imbasan, Dr Subramaniam berkata, golongan itu boleh mendapatkan pandangan doktor.

“Mereka boleh berjumpa doktor bagi mencari jalan selamat,” katanya.

Dua kes Zika dikesan di Malaysia setakat ini dengan satu kematian direkodkan setakat ini.

Pautan:

Pesakit Zika di Sabah maut akibat komplikasi jantung

Zika: Wanita pulang dari negara terjejas perlu elak hamil

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.