Rohani: Waktu kerja 6 jam sehari bagus untuk keluarga

Rohani: Waktu kerja 6 jam sehari bagus untuk keluarga

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sokongan mengurangkan waktu bekerja penjawat awam daripada lapan jam sedia ada kepada enam jam

rohani
PETALING JAYA: Cadangan waktu kerja enam jam Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk penjawat awam dipersetujui anggota Jemaah Menteri.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim berkata langkah itu akan beri manfaat kepada keluarga, lapor Utusan Malaysia.

“Bagaimanapun, kementerian tidak boleh bersendirian merealisasikan cadangan tersebut ke­rana apabila ramai yang menyokong cadangan itu, ia dilihat mendapat sambutan dan kami bersedia bekerjasama,” katanya menurut laporan itu.

Beliau juga menjelaskan pilihan bertugas dari rumah salah satu daripada manfaat cadangan itu, kerana mengurangkan keberadaan di pejabat tidak semestinya menjejaskan produktiviti.

“Apa yang penting, kerja tersebut dapat disiapkan mengikut kualiti yang ditetapkan serta tidak lari daripada kehendak majikan,” kata Rohani, dan menambah terdapat tugasan yang tidak perlu dilakukan di pejabat seperti penterjemahan buku, lapor Utusan.

Khamis lepas, Setiausaha Agung MTUC N Gopal Kishnam meminta kerajaan menimbang untuk mengurangkan waktu bekerja penjawat awam daripada lapan jam ke enam jam sehari.

Beliau menamakan beberapa manfaat, termasuk mengurangkan jumlah cuti sakit dan produktiviti yang lebih baik daripada pekerja yang berehat lebih panjang.

“Apabila kita bercakap tentang produktiviti, kami merasakan bilangan jam bekerja selama enam jam akan memberi kebaikan bukan sahaja dari segi produktiviti pekerja.

“Jika pekerja mendapat rehat yang cukup, mereka akan kembali bekerja pada keesokan harinya dengan lebih bertenaga dan ini seterusnya akan meningkatkan produktiviti mereka di tempat bekerja,” kata Gopal kepada Astro Awani dalam temubualnya.

Beliau menambah beberapa negara di rantau Asean sudah mengambil langkah menurunkan bilangan jam bekerja daripada 48 jam kepada 40 jam seminggu.

Utusan kemudian melaporkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa berkata kerajaan akan mengkaji cadangan itu.

Sementara itu, Rohani berkata kementerian mendahului isu ini dua tahun lalu, melalui pengenalan sistem waktu anjal untuk kakitangan yang mempunyai anak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.