Protes anti Rajapaksa: Ketua sami tidak cedera, kuil tidak rosak

Protes anti Rajapaksa: Ketua sami tidak cedera, kuil tidak rosak

Sri Saranan berkata, ia sekadar salah faham antara penunjuk perasaan yang menyebabkan kekecohan tercetus di luar kuil.

monk_srilanka_600baru
PETALING JAYA:
Ketua sami sebuah kuil Buddha Sri Lanka di Sentul yang diserang sekumpulan penunjuk perasaan anti Mahinda Rajapaksa semalam, tidak cedera dan kini dalam keadaan baik.

Semalam, Sri Saranan dilaporkan ditumbuk dan ditendang beberapa penunjuk perasaan anti bekas presiden Sri Lanka itu yang dikatakan akan melawat kuil berkenaan.

Sri Saranan dalam satu kenyataan berkata, ia sekadar salah faham antara penunjuk perasaan yang menyebabkan kekecohan tercetus di luar kuil terbabit.

“Penunjuk perasaan sangka Rajapaksa akan melawat kuil ini, jadi mereka datang untuk halang dia.

“Hakikatnya, kuil Buddha Sri Lanka ini tidak mempelawa Rajapaksa datang ke sini dan bekas presiden itu juga tidak kata dia akan datang,” katanya hari ini.

Sri Saranan berkata, kekecohan semalam hanya berlaku sekejap dan kuil itu juga tidak mengalami sebarang kerosakan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak mudah percaya kepada perkara yang tersebar dalam media sosial kerana keadaan sebenar mungkin tidak seteruk yang dilaporkan.

Semalam, khabar angin yang mengatakan Rajapaksa akan melawat kira-kira lapan kuil Buddha Sri Landa di seluruh negara, mencetuskan kemarahan badan bukan kerajaan (NGO) Tamil di ibu negara.

Kira-kira 50 penunjuk perasaan yang berkumpul di luar Pusat Dagangan Dunia Putra untuk membantah kehadiran Rajapaksa di Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (ICAPP), kemudiannya berarak ke Sentul selepas mendengar khabar angin Rajapaksa akan melawat sebuah kuil di sana.

Kini, tidak diketahui jika Rajapaksa masih berada di Malaysia.

Masyarakat Tamil tempatan berang kerana mendakwa Rajapaksa adalah dalang di sebalik pembunuhan 100,000 penduduk Tamil di Sri Lanka ketika perang saudara selama 25 tahun.

Pautan:

Sami Buddha diserang dalam protes anti Rajapaksa

Kecoh protes anti Rajapaksa, baling botol, bergelut dengan FRU

Bantah kehadiran pemimpin Sri Lanka, protes bertukar kecoh

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.