
Negara terbaharu yang disenaraikan sebagai kawasan jangkitan virus Zika ialah Singapura.
Kementerian Kesihatan menerusi garis panduan pencegahan jangkitan virus Zika yang diedarkan menasihatkan wanita mengelak daripada mengandung dalam tempoh sebulan, selepas pulang dari negara yang mempunyai kes jangkitan virus Zika, manakala lelaki pula perlu menggunakan kondom ketika mengadakan hubungan seks.
Jurucakap Pusat Respons dan Kesiapsiagaan Krisis (CPRC) dipetik Sin Chew Daily berkata, kebiasaannya simptom jangkitan virus itu akan muncul dalam tempoh 48 jam, seperti demam, ruam, sakit kepala, sakit sendi dan konjuktivitis.
Beliau berkata, ujian air kencing untuk mengesan virus Zika boleh dilakukan di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan, di mana keputusannya akan diketahui dalam tempoh sehari.
“Jika anda pergi ke Singapura pada 1 September dan pulang pada 10 September, maka anda boleh hamil selepas 1 Oktober. Mereka yang merancang untuk hamil perlu pergi ke hospital atau klinik sakit puan untuk jalani ujian virus Zika,” kata jurucakap terbabit kepada akhbar berbahasa Cina itu.
Kementerian Kesihatan juga menggalakkan wanita hamil mengurangkan kekerapan keluar rumah dan menggunakan ubat penghalau nyamuk yang diperbuat daripada bahan semula jadi.
Wanita yang hamil satu hingga enam bulan adalah kumpulan paling berisiko tinggi dijangkiti virus Zika yang dikaitkan dengan kejadian mikrosefali, iaitu kelahiran bayi dengan kepala atau otak mengecil serta gejala saraf, iaitu sindrom “Guillain-Barre.”
Mikrosefali merupakan kecacatan otak atau kepala kekal yang boleh mempengaruhi kualiti hidup bayi sehingga dewasa.
Menurut akhbar itu lagi, ketua pengarah kesihatan pernah berkata, selepas pulih, darah pesakit tidak akan mempunyai virus Zika lagi, tetapi virus itu boleh berada dalam lelehan faraj atau air mani sehingga enam bulan, jadi pesakit perlu mengamalkan hubungan seks yang selamat.
Malaysia merekodkan kes virus Zika pertama pada Khamis lalu, apabila seorang wanita dari Klang yang pulang dari Singapura pada 21 Ogos lalu, disahkan positif virus itu.
Wanita berusia 58 itu mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Klang susulan gejala ruam seminggu sekembalinya dari negara jiran terbabit.
Pautan:
Zika: Australia, Taiwan, Korea Selatan nasihat ibu mengandung elak Singapura