
Kumpulan kira-kira 50 orang itu terdahulu berkumpul di depan Pusat Dagangan Dunia Putra untuk membantah kehadiran Rajapaksa di satu persidangan antarabangsa parti politik Asia.
Peserta bantahan itu kemudian berarak ke kuil di Sentul selepas mengetahui Rajapaksa dikatakan akan melawat kuil berkenaan.
Kumpulan itu terdiri daripada ahli Persatuan India Progresif Malaysia, Malaysian Tamilan dan Persatuan Perubahan Pendidikan India Malaysia (MIETA). Mereka bermula dengan membakar patung Rajapaksa di depan kuil itu.
Ketika ketua sami Sri Saranan keluar dari kuil itu, beberapa individu yang tidak dikenal pasti kemudian menyoalnya mengenai ketibaan Rajapaksa. Mereka kemudian menyerangnya dengan kata-kata kesat dan tidak senonoh.
Serangan bermula selepas seorang daripada mereka memegang muka sami itu, menyebabkan seorang lagi menumbuk muka Saranan. Dua orang daripada kumpulan itu juga menendangnya, memaksa sami itu berpatah balik masuk ke dalam kuil.
Polis Sentul kemudian berjaya menghalang khalayak itu daripada terus menyerang sami berkenaan.
Pengerusi MIETA A. Elangovan kemudian masuk ke dalam kuil bersama polis untuk memohon maaf kepada sami itu.
Beliau berkata kumpulannya itu berkumpul di kuil itu “kerana mahu memberi amaran tegas kepada semua kuil Buddha jangan benarkan pembunuh beramai-ramai datang ke sini”.
Kumpulan Tamil menyalahkan Rajapaksa kerana menjadi dalang pembunuhan 100,000 Tamil Sri Lanka ketika perang saudara negara itu sepanjang 25 tahun.
Sementara itu, Elangovan bersetuju adalah salah untuk menyerang sesiapa ketika tunjuk perasaan dan berkata beliau tidak tahu siapa penyerangnya.
Beberapa individu terus menyertai khalayak untuk turut serta membuat bantahan.
“Mereka agak emosional. Tetapi, kita tidak boleh pukul mereka kerana ini tempat agama,” katanya.
Katanya, beliau bersetuju dengan ketua sami itu yang tidak ada sesiapa pun boleh disekat daripada datang ke kuil.
“Ini tempat agama. Kita tidak ada hak untuk tentukan siapa yang boleh datang dan siapa tak boleh,” katanya.
Beliau berkata jika Rajapaksa datang ke kuil itu “untuk minta keampunan Tuhan, maka tak apa. Kami tidak ada hak untuk kata siapa boleh masuk dan tidak”.
FMT dihalang menghubungi ahli kuil itu.
Ketika ditanya sama ada kumpulan itu akan berkumpul lagi esok, Elangovan berkata mereka akan hanya mengadakan bantahan jika Rajapaksa muncul.
“Kami tidak mahu mencemar tempat suci.”
Polis kemudian memberitahu wartawan yang ahli Light Strike Force dan beberapa pegawai akan ditempatkan di kuil itu bagi memastikan keamanan memandangkan individu tertentu mungkin akan datang dengan kayu dan batu.
Ketua Malaysian Tamilan Today M Shammuga berkata mereka akan terus memastikan Rajapaksa tidak muncul di situ.
“Sebaik saja dia datang sini, kami akan berdemonstrasi terhadapnya supaya dia tidak akan masuk ke dalam kuil,” katanya.
pautan:
Kecoh protes anti Rajapaksa, baling botol, bergelut dengan FRU