
“Alangkah baiknya kalau semua mufti mengeluarkan gesaan yang sama kepada semua ahli Parlimen,” kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Sebelum ini, Zulkifli menggesa semua ahli Parlimen termasuk bukan Islam menyokong usul yang dibentangkan Mei lalu oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
RUU itu membolehkan mahkamah syariah menjatuhkan hukuman melebihi apa yang dihadkan sebelumnya iaitu penjara tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan enam sebatan, atau biasa dikenali sebagai “akta 355”.
Menulis dalam buku kecil setebal 52 muka surat, Zulkifli memberikan 3 alasan untuk ahli Parlimen beragama Islam dan 8 alasan untuk mereka yang bukan Islam menyokong pindaan berkenaan.
“Menyokong usaha RUU pindaan Akta 355 ini juga adalah interpretasi kepada dua prinsip dalam Rukun Negara iaitu keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata cadangan PAS itu tidak perlu dipolitikkan “kerana ia adalah tanggungjawab semua umat Islam”.
“Isu ini tidak perlu dipolemikkan oleh mana-mana pihak untuk mengelakkan terjejasnya hubungan baik yang sedia ada dan sikap saling hormat-menghormati antara agama yang sudah sedia terjalin,” katanya.