
Sebaliknya, kata wakil rakyat DAP itu, jika ada keperluan untuk membuat laporan, polis yang perlu lakukannya sendiri, bukannya penyanyi kontroversi, Namewee yang mengadu keadaan teruk dan layanan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam lokap.
Beliau menyifatkan tindakan polis meminta Namewee atau nama sebenarnya, Wee Meng Chee membuat laporan untuk menyiasat keadaan dalam lokap sebagai pelik.
“Kita bercakap mengenai tahanan di sini. Satu aduan sangat serius sudah dibuat. Polis tidak sepatutnya hanya memberi respons dengan mencabar (pengadu) membuat laporan polis. Itu tidak mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Minggu lalu, selepas dibebaskan Namewee menerusi Facebooknya mengadu keadaan teruk dalam lokap dia direman empat hari, susulan dakwaan klip video “Oh My God” yang didakwa menghina Islam.
Dia mendakwa ditempatkan bersama 15 tahanan lain dari Myanmar dan ada di kalangan tahanan asing yang mungkin mati tanpa diberikan rawatan perubatan diperlukan.
Namun, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab hari ini menafikan dakwaan itu kononnya Lokap Berpusat di Bayan Baru dalam keadaan buruk, teruk dan daif.
Malah, katanya, ada prosedur operasi standard (SOP) diguna pakai dalam lokap, termasuk tahanan yang sakit atau tidak sihat akan dihantar ke hospital.
Sementara itu, Gobind menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang bertanggungjawab terhadap penjara dan lokap di negara ini perlu mengambil tindakan segera untuk menyiasat aduan itu, memandangkan ia membabitkan kebimbangan serta kepentingan orang ramai.
“Zahid perlu mengarahkan satu laporan polis dibuat berhubung perkara itu. Zahid juga perlu memberi maklum balas mengenai perkara itu di Parlimen,” katanya.
Beliau berkata, tiada orang yang perlu berdepan layanan buruk dan tidak berperikemanusiaan dalam tahanan.