
Malah peribahasa “seperti isi dan kuku” juga tidak memadai bagi menceritakan betapa rapatnya mereka.
Ahmad dan Muhamad dilahirkan sebagai kembar siam yang bercantum di bahagian dada dan punggung.
Kelahiran mereka pada 1999 menjadi perbualan hangat. Tiga tahun kemudian, mereka berpisah selepas pembedahan 23 jam dengan kos RM1.7 juta, dibiayai sepenuhnya Putera Abdullah Abdul Aziz, yang kemudian dilantik menjadi raja Arab Saudi dan meninggal dunia awal tahun lalu.
Ahmad dan Muhammad kini berpisah badan, namun mereka tetap rapat seperti ketika dilahirkan.
Pada 2011, pasangan ini, yang mempunyai tiga adik – Muhammad Iman, 13, Ammar Safiy, 10 dan Nur Badrisa, 7, kehilangan ibu mereka Asiah Kanda akibat barah payu dara.
“Kehilangan ibu sememangnya amat dirasai namun kami akur dengan ketentuan Ilahi,” kata Muhammad ketika FMT berkunjung ke rumah mereka di Puchong baru-baru ini.
Bapa mereka, Rosli Abdul Rahim kemudian berkahwin dengan Junaidah Awang, 40, dan mereka menganggap ibu tiri seperti ibu kandung.
Sepanjang tahun lalu, kehidupan mereka menarik minat Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara, Ng Sze Han yang membiayai segala kos persekolahan mereka.
“Kami amat berterima kasih pada YB Ng Sze Han yang memberi bantuan daripada segi wang ringgit ketika sesi persekolahan tahun lepas,” kata Muhammad.
Ahmad dan Muhammad kini remaja berusia 18 tahun, dan baru saja menjejaki alam universiti di Universiti Pengurusan dan Sains, Shah Alam.
Belajar berdikari

Ahmad dan Muhammad menganggap pengalaman mereka di kampus sesuatu yang luar biasa, dan gembira tidak perlu berdepan diskriminasi terhadap golongan orang kurang upaya (OKU).
“Kami bukan mahasiswa OKU pertama di situ. Suasana kampus yang mesra OKU tidak menyukarkan aktiviti harian ketika di kampus,” kata Muhammad.
Muhammad mengikuti pengajian diploma teknologi maklumat manakala Ahmad dalam bidang rekaan grafik, dan segala perbelanjaan sepanjang pengajian ditanggung sepenuhnya Lembaga Zakat Selangor.
Berbeza personaliti
Biarpun kelihatan seiras sehingga sukar dibezakan, pasangan kembar ini memiliki personaliti berbeza.
Ibu tiri mereka, Junaidah berkata kedua-duanya menunjukkan sifat yang jauh beza biarpun berkongsi hati dan buah pinggang.
“Ahmad ialah abang tetapi sifatnya lebih manja dan pemalu berbanding Muhammad. Jika di kampus, adiknya lebih lincah dan aktif bergaul,” katanya yang mengakui terasa sunyi ketika pasangan itu tiada di rumah.
Ahmad setuju dengan ibu tirinya yang adiknya memang aktif dan suka menyakat.
Sementara dia lebih gemar bersendirian namun “kuat makan”, kata Ahmad.
Ahmad dan Muhammad berharap selepas pengajian nanti, mereka dapat menjalankan kehidupan seperti insan lain.
“Doakan ya,” kata mereka.