
Penularan dan amaran itu berpotensi menjejaskan pelancongan di hab perjalanan antara yang tersibuk di dunia itu, ketika Singapura bergelut untuk pulih daripada kemerosotan di kala pertumbuhan ekonomi sejagat yang sederhana.
Singapura melaporkan kes pertama jangkitan Zika secara setempat pada hujung minggu, dan jumlah jangkitan virus bawaan nyamuk tersebut melonjak ke 56 sejak itu. Sekurang-kurangnya tiga dozen mereka yang dijangkiti pulih sepenuhnya.
Virus Zika dikesan di Brazil tahun lalu dan sejak itu tersebar ke serata benua Amerika. Ibu mengandung berisiko kerana ia menyebabkan cacat lahir yang teruk. Ia dikaitkan dengan lebih 1,800 kes microcephaly di Brazil, kecacatan lahir yang jarang berlaku iaitu bayi dilahirkan dengan kepala dan otak yang luar biasa kecil.
Hanya seorang perempuan dilaporkan dijangkiti dalam 56 kes yang disahkan di Singapura.
Taiwan, Australia dan Korea Selatan menasihatkan ibu mengandung dan pasangan yang merancang supaya menangguhkan lawatan ke Singapura. Mereka yang pulang diminta supaya jangan mengelak daripada mengandung selama dua bulan. Pelancong Korea Selatan akan menerima teks amaran itu sebaik mendarat di Singapura.
Sementara itu, jiran terdekat Singapura seperti Malaysia dan Indonesia meningkatkan langkah kawalan susulan penularan, dengan memperkenalkan pengimbas thermal di lapangan terbang dan tempat pemeriksaan sempadan.
Lembaga Pelancongan Singapura berkata perkembangan semasa sedang dipantau, dan menambah negara kota itu masih destinasi pelancongan yang selamat, serta pra-matang untuk menimbang sebarang impak.
Lebih 55 juta orang melalui lapangan terbang Changi Singapura setiap tahun. Dalam tempoh separuh tahun pertama tahun ini, hampir 8.2 juta pelancong mendarat, berbanding 7.3 juta tahun lalu bagi tempoh sama.
Peruncit maya Lazada Singapura pada Selasa memaklumkan penjualan bahan penjauh nyamuk dan pencegah lain melonjak lima kali ganda sejak tiga hari lalu berbanding minggu lepas.
Pekerja asing
Sementara itu, pihak berkuasa meneruskan pemeriksaan ribuan rumah di tujuh bahagian Singapura, termasuk lima asrama pekerja asing pada Selasa. Pihak berkuasa menyembur racun serangga dan memusnahkan potensi habitat pembiakan nyamuk seperti air bergenang dan kotoran lembab dalam longkang.
Majoriti yang dijangkiti Zika di Singapura adalah pekerja asing, namun pemerintah tidak mendedahkan kewarganegaran mangsa. Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh, yang mewakili komuniti pekerja asing terbesar, berkata tiada warga Bangladesh dikesan dalam kalangan pekerja yang dijangkiti.
Kedutaan China dan Myanmar di Singapura pula memberitahu pemerintah tidak memaklumkan samada terdapat warga mereka dalam kalangan yang dijangkiti. Kedutaan Thailand belum membalas panggilan untuk mendapatkan komen.
Pekerja asing di Singapura, kebanyakannya diambil untuk bekerja di industri pembinaan dan marin, peroleh gaji serendah S$2 (RM5.95) sejam, sering bekerja 12-14 jam sehari dan mengambil cuti hanya untuk beberapa hari. Mereka juga tidak mungkin melancong dengan kerap.
Kawasan pembinaan GuocoLand, tempat pekerja yang dijangkiti dikesan, masih ditutup pada pagi Selasa, menurut jurugambar Reuters di lokasi kejadian. Ia diarah henti kerja pada Ahad dan membetulkan keadaan yang membolehkan pembiakan nyamuk.
Pakar kesihatan serantau berkata virus Zika di kawasan tropika Asia Tenggara mungkin tidak dilaporkan secara tepat memandangkan pihak berkuasa kesihatan tempatan gagal menjalankan pemeriksaan secukupnya.