
Rakyat Malaysia yang melancong ke India dinasihatkan supaya berwaspada susulan laporan jangkitan yang disahkan, memandangkan kadar kematian yang tinggi serta ketiadaan rawatan khusus bagi virus tersebut.
Walaupun virus ini tidak mudah merebak, pihak berkuasa kesihatan sedang meningkatkan pemantauan kerana wabak boleh membawa kesan yang amat buruk apabila ia berlaku.
FMT menelusuri sejarah virus Nipah, daripada penemuannya di Malaysia, simptom, kaedah rawatan serta sama ada kita perlu berasa bimbang.
Asal-usul virus Nipah di Malaysia
Virus Nipah dikenal pasti selepas wabak penyakit di ladang ternakan babi di Malaysia pada 1998 yang mengorbankan 150 nyawa, kebanyakannya dalam kalangan penternak dan pekerja pusat sembelihan.
Wabak itu mencetuskan panik meluas kerana ia pada mulanya disangka jangkitan Japanese Encephalitis, iaitu jangkitan virus pada otak yang disebarkan melalui gigitan nyamuk.
Pakar virologi Malaysia Dr Chua Kaw Bing memainkan peranan penting dalam mengenal pasti virus tersebut serta mengaitkan jangkitan manusia dengan babi, bukannya nyamuk, sekali gus membantu pihak berkuasa melaksanakan langkah kawalan yang tepat.
Virus itu dinamakan virus Nipah sempena Sungai Nipah berhampiran Port Dickson, lokasi kes manusia pertama yang dikenal pasti dijangkiti virus berkenaan.
Malaysia memusnahkan lebih satu juta ekor babi, mengenakan kawalan pergerakan ke atas ladang ternakan serta menyusun semula industri ternakan bagi menghalang penularan lanjut, sekali gus menamatkan wabak tersebut. Tiada lagi kes Nipah dilaporkan di negara ini selepas 1999.
Sejak itu, virus Nipah muncul di Bangladesh dan India melalui makanan yang tercemar dan dalam beberapa kes melalui penularan daripada manusia ke manusia, di Singapura menerusi babi import, serta di Filipina melalui kuda yang dijangkiti.
Virus dan simptomnya
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), virus Nipah merupakan antara virus paling maut yang diketahui, dengan kadar kematian antara 40% hingga 75%, bergantung kepada wabak serta tahap akses kepada rawatan perubatan.
Virus ini kebanyakannya merebak daripada haiwan seperti babi dan kelawar buah kepada manusia dan dalam sesetengah kes, melalui hubungan rapat antara manusia.
Tempoh inkubasinya lazimnya antara empat hingga 14 hari. Gejala awal termasuk demam, sakit kepala, sakit otot, muntah dan sakit tekak, yang boleh berkembang menjadi kesukaran bernafas serta ensefalitis akut, iaitu pembengkakan otak.
Rawatan jangkitan
Setakat ini, tiada ubat atau vaksin berlesen yang tersedia, walaupun rawatan eksperimen telah dibangunkan.
Pengurusan jangkitan Nipah tertumpu terutamanya kepada rawatan sokongan, dengan doktor merawat gejala dan komplikasi, bukannya virus itu sendiri. Semasa wabak pertama di Malaysia, doktor merawat demam, masalah pernafasan dan gangguan neurologi, serta memberikan hidrasi, rehat dan sokongan pernafasan, kerana tiada ubat antivirus yang terbukti berkesan.
Imunoterapi m102.4 telah menamatkan ujian fasa awal dan telah diberikan dalam beberapa kes atas dasar ihsan (apabila tiada pilihan rawatan lain). Vaksin peringkat awal, termasuk calon vaksin mRNA oleh Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat, sedang dibangunkan.
Perlukah rakyat Malaysia bimbang?
Ahli genetik dan penyelidik penyakit berjangkit Dr Kumitaa Theva Das berkata peluang seseorang yang dijangkiti Nipah untuk menjangkiti orang lain adalah sangat rendah.
“Ia tidak akan menjadi pandemik,” katanya. “Virus ini tidak merebak dengan mudah seperti Covid-19, tetapi diklasifikasikan sebagai patogen keutamaan oleh WHO kerana kadar kematiannya yang tinggi dan ketiadaan penawar.”
Beliau mengibaratkan wabak Nipah seperti ‘api yang meletup’, berskala terhad tetapi memberi impak yang teruk.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata Malaysia bersedia sepenuhnya untuk menangani kemungkinan kes Nipah, dengan memetik sistem pengawasan dan kapasiti makmal yang dipertingkatkan.
Beliau turut menyatakan kementeriannya telah mempertingkatkan saringan terhadap pelancong yang tiba dari negara berisiko tinggi untuk membolehkan pengesanan awal dan mengelakkan penularan tempatan.