Cabul pelajar: Menteri tak boleh lepas tangan, kata Izzah

Cabul pelajar: Menteri tak boleh lepas tangan, kata Izzah

Kajian menunjukkan 86 daripada 103 guru tahfiz tidak mempunyai kelayakan ikhtisas perguruan.

izzah-rape
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Lembah Pantai kecewa dengan keputusan Kementerian Pendidikan untuk tidak campur tangan dalam dakwaan kes penderaan seksual di Maahad Tahfiz Darul Barakah, Perak.

Walaupun pengelolaan urus tadbir sekolah agama terletak bawah bidang kuasa negeri, Nurul Izzah Anwar berkata krisis pencabulan seksual, terutamanya yang melibatkan kanak-kanak, mendesak kepada kolaborasi nasional.

Ini kerana jenayah terhadap kanak-kanak merupakan jenayah yang merentasi sempadan, tegasnya, malah isu melibatkan dua tenaga pengajar sekolah persendirian itu menunjukkan wujud kelompongan sistem dalam saringan guru yang layak mengajar.

“Kajian meninjau persepsi kaedah amalan pengajaran tahfiz di Darul Quran JAKIM dan Maahad Tahfiz al-Quran negeri (MTQN) di Malaysia daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati bahawa daripada 103 guru tahfiz yang ditemubual, mereka yang mempunyai kelayakan ikhtisas perguruan hanya seramai 15 orang (16.5%) dan 86 orang (83.5%) tidak mempunyai ikhtisas perguruan,” kata Izzah dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 23 Ogos lepas Ketua Polis Perak Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi mengumumkan polis sedang menyiasat kes pelajar Maahad Tahfiz Darul Barakah yang mendakwa dicabul selain berlaku kejadian seks luar tabii.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid 25 Ogos lepas dilaporkan berkata kementerian tidak akan campur tangan kerana peraturan dan seliaan sekolah agama terletak bawah tanggungjawab kerajaan negeri.

“Perkara ini tidak melibatkan kita (Kementerian Pendidikan),” katanya, lapor Astro Awani.

Izzah berkata kementerian wajib merangka saluran komunikasi dan ruang kaunseling untuk mangsa jenayah seksual dan pencabulan, menyelaraskan tatacara pengendalian piawai sekolah swasta dan kerajaan selari dengan Akta Kanak-Kanak (Pindaan 2015), dan melebarluas pendidikan perlindungan kanak-kanak untuk orang dewasa dan anak-anak.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) seharusnya giat dalam memastikan anak-anak kita terjaga kebajikan melalui sistem sedia ada, bukan hanya sibuk menukar menteri pendidikan setiap kali tidak selari dengan kehendak,” tegas Izzah.

PAUTAN:

Kementerian Pendidikan tidak campur tangan isu penderaan seksual sekolah agama

Dakwaan kes cabul di maahad milik penceramah popular disiasat

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.