
Bekas timbalan pengarah komunikasi PKR Sabah Fekirie Gobet berkata, kemelut bermula dengan pelantikan pemimpin Semenanjung sebagai pengarah pilihan raya negeri, meskipun rekod mereka sendiri tercalar dengan kekalahan lampau, malah di kubu kuat parti itu sendiri.
Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar dan bekas setiausaha agung Saifuddin Nasution Ismail dilantik sebagai pengarah pilihan raya bersama bagi PKR untuk PRN Sabah.
Fekirie membidas tindakan parti yang menuding jari kepada sentimen ‘Sabah untuk Rakyat Sabah’ sebagai punca kekalahan pada PRN, menyifatkannya sebagai alasan dangkal bagi menutup kelemahan dalaman parti.
“Ini bagi memudahkan semua masalah disorok bawah karpet, tanpa perlu menyalahkan mana-mana pihak,” katanya menerusi satu video di Facebook.
PKR bertanding di 12 kerusi namun hanya mampu menawan DUN Melalap, manakala rakan gabungannya DAP tewas di kesemua lapan kerusi yang ditandingi.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) muncul sebagai blok terbesar dalam DUN dengan 29 kerusi, Warisan meraih 25 kerusi sebagai parti tunggal terbesar, manakala Barisan Nasional menang lima kerusi.
Menurut Fekirie, tindakan parti meletakkan individu yang pernah kalah teruk pada pilihan raya sebagai ‘panglima perang’ ialah ‘tindakan bodoh’ yang meruntuhkan moral dan strategi jentera akar umbi.
Beliau turut mengkritik tindakan mencetak bahan kempen di Semenanjung, bukannya di Sabah dengan kos lebih rendah.
Akibatnya, bahan kempen lewat tiba atau gagal dimanfaatkan di beberapa kawasan, mengulangi episod kegagalan logistik pada PRN 2020 dan 2022, yang menurutnya mendorong peletakan jawatannya.
Beliau menambah, petugas kempen turut dijanjikan elaun namun bayaran tertunggak sehingga dua bulan, memaksa segelintir menarik diri daripada gerak kerja kempen.
Katanya, PKR juga membuat beberapa keputusan pilihan raya yang lewat dan tidak sesuai, menambah sesetengah keputusan itu kelihatan dipengaruhi oleh pertimbangan kewangan, bukannya sokongan sebenar di lapangan
“Sebab itu, penatlah anggota (akar umbi) di bawah. Pimpinan tidak pernah dan tidak akan pernah belajar dari kesilapan,” katanya.