Wanita 22-39 tahun kerap jadi tempat lepas geram suami baran

Wanita 22-39 tahun kerap jadi tempat lepas geram suami baran

Kebanyakan pasangan bertindak di luar batasan kerana banyak urusan belum selesai, termasuk tekanan hidup seperti masalah di tempat kerja, masalah kewangan, memendam perasaan dan kemurungan.

women-abuse
KUALA LUMPUR:
Wanita berusia 22 hingga 39 tahun kerap menjadi sasaran keganasan rumah tangga yang berpunca daripada pasangan gagal mengawal sikap panas baran keterlaluan mereka, menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan JKM, Sulaimah Daud berkata, daripada 199 kes yang dikendalikan jabatan itu setakat Januari hingga Mac tahun ini, 118 daripadanya melibatkan mangsa wanita daripada kumpulan umur itu.

“Wanita pada usia itu sering menjadi tempat untuk pasangan melepaskan kemarahan, dilempar dengan kata-kata kesat, diugut dan dikasari secara mental dan fizikal.

“Kes paling tinggi dirujuk ke jabatan itu adalah sengaja atau cuba meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan akan dicederakan, iaitu sebanyak 85 kes, 79 kes menyebabkan kecederaan fizikal dan 12 kes penderaan secara psikologi dan emosi,” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau berkata, mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, JKM berperanan menjelaskan hak mendapat perlindungan dan membantu mangsa membuat laporan polis serta pemeriksaan perubatan.

Sulaimah berkata, JKM juga berperanan membantu mangsa mendapatkan Perintah Perlindungan Interim atau Perintah Perlindungan dan memberi perlindungan sementara kepada mangsa memerlukan tempat selamat.

“Mangsa perlu segera melaporkan kejadian di mana-mana balai polis dan jika mangsa dicederakan, mereka perlu membuat pemeriksaan di hospital atau klinik kerajaan serta melaporkan diri ke Pejabat Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, berikutan masalah ekonomi rumah tangga dalam usia perkahwinan masih muda, perselisihan faham sering berlaku sehingga menyentuh perasaan atau menyakitkan hati mangsa.

“Mangsa berdepan pasangan yang gagal menunaikan tanggungjawab seperti mencari nafkah kerana terbabit gejala penagihan dadah dan mangsa memohon perceraian.

“Terdapat kes di mana suami meletakkan senjata berbahaya seperti pistol dan parang di dalam bilik tidur atau di pintu untuk menakutkan isteri. Ada juga kes mangsa dikasari sehingga mendatangkan kecederaan kerana dipukul,” jelasnya.

Beliau berkata, kes lain ialah perbuatan khianat pasangan yang sengaja mahu membuatkan mangsa berasa sedih dan gusar dengan memusnahkan atau merosakkan harta, penderaan seksual dan mengurung atau menahan mangsa tanpa rela.

Sementara itu, Pakar Psikologi Jabatan Psikologi Perkembangan Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mariani Mohd Nor berpendapat, wanita cenderung menjadi mangsa kerana pasangan mereka yang bersikap panas baran tidak mempunyai kewarasan berfikir secara rasional.

“Masalah timbul apabila pasangan tidak bersikap jujur, hilang kepercayaan terhadap pasangan, hilang rasa kasih sayang hingga hubungan semakin renggang.

“Kebanyakan pasangan bertindak di luar batasan kerana banyak urusan yang belum selesai, termasuk tekanan hidup seperti masalah di tempat kerja, masalah kewangan, memendam perasaan dan kemurungan,” katanya.

Beliau berkata, komunikasi baik antara pasangan amat penting bagi mengelakkan perselisihan faham dan pertelingkahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.