Penembak bunuh 3 polis di timur AS

Penembak bunuh 3 polis di timur AS

Pegawai polis itu diserang ketika menyiasat kes keganasan rumah tangga.

US-Gun EPA
Keganasan berkaitan senjata api berlaku hampir setiap hari di AS. (Gambar fail EPA Images)
WASHINGTON:
Seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah lima pegawai polis di Pennsylvania, timur Amerika Syarikat (AS) menyebabkan tiga maut dan dua lagi parah, sebelum penembak itu maut di tempat kejadian, kata seorang pegawai kanan polis.

“Saya boleh mengesahkan lima pegawai penguat kuasa undang-undang ditembak hari ini, dengan tiga daripadanya terbunuh,” kata Pesuruhjaya Polis Negara, Christopher Paris sambil menambah dua pegawai dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal.

Pegawai polis itu diserang ketika menyiasat satu kes keganasan rumah tangga.

“Saya boleh mengesahkan penembak telah mati,” kata Paris sambil menambah suspek ditembak polis.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan dan tiada ancaman berterusan kepada orang awam.

Tembakan itu berlaku di Perbandaran Codorus, York County, 210km barat daya Philadelphia pada petang Rabu.

“Ada banyak butiran yang ketika ini kami belum boleh dedahkan kerana siasatan masih diteruskan.”

Katanya, dua pegawai yang dalam keadaan kritikal itu kini stabil.

Gabenor Pennsylvania, Josh Shapiro menyifatkan “ini hari yang benar-benar tragis dan dahsyat untuk York County serta seluruh Komanwel Pennsylvania”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.