Besi kren hempap kereta: Keputusan saman selepas kebumi mangsa

Besi kren hempap kereta: Keputusan saman selepas kebumi mangsa

Abang mangsa berkata, keluarganya sedang sibuk menguruskan pengebumian adik perempuannya, Chin Khoon Sing ketika ini.

Besi-kren_law_600
PETALING JAYA:
Ahli keluarga wanita yang maut dihempap besi penyangkut sebuah kren di ibu negara, kelmarin, hanya akan mengumumkan sama ada tindakan undang-undang diambil terhadap syarikat pembinaan terbabit, selepas selesai upacara pengebumian mangsa.

Abang mangsa yang juga seorang artis tempatan, Chin Khoon Ying ketika ditemubual China Press semalam berkata, keluarganya sedang sibuk menguruskan pengebumian adik perempuannya, Chin Khoon Sing ketika ini.

Jenazah mangsa yang dibawa dari Kuala Lumpur, tiba di Pengkalan Weld, George Town, Pulau Pinang pada jam 11.50 malam tadi.

Sementara itu, Malay Mail Online memetik syarikat pembinaan Beijing Urban Construction Group (BUCG) (M) Sdn Bhd berkata, projek berkenaan sudah dihentikan buat sementara sehingga dimaklumkan pihak berkuasa terbabit.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan akan menghubungi mereka atau wakil bagi menghulurkan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

BUCG mengesahkan ia mengetuai projek pembinaan hotel oleh Harmoni Perkasa Sdn Bhd, di mana Yekon Equipment (M) Sdn Bhd adalah pemilik kren yang dikendalikan Sufiyan Enterprise.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Datuk Mohtar Musri yang dipetik The Star Online semalam berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan polis untuk menjejaki pengendali kren yang bertindak melarikan diri dari tempat kejadian di Jalan Raja Chulan.

“Ada banyak pihak yang kami sedang siasat. Pertama ialah kontraktor dan kemudian syarikat yang membekalkan kren itu.

“Jadi, sekarang kami cuba cari pihak yang bertanggungjawab secara langsung ke atas kemalangan itu,” katanya.

Dalam kejadian 7.20 malam Khamis itu, besi penyangkut berkenaan dipercayai terjatuh daripada kren di sebuah tapak pembinaan, bersebelahan pusat beli-belah Pavilion dan menimpa kereta Perodua Kelisa yang dipandu mangsa.

Mangsa maut serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di tengkuk, dada dan rusuk kanan selepas dihempap serpihan besi kren seberat 1,000 kilogram yang jatuh dari tingkat 20 bangunan hotel yang sedang dalam pembinaan itu.

Pemandu wanita maut dihempap besi kren 1,000kg dekat Pavilion KL

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.