
Dalam kejadian jam 6 petang Jumaat itu, tujuh lelaki itu dalam perjalanan dari Pulau Jerejak ke Pantai Utara untuk menghantar batu bagi kegunaan benteng ombak.
Setakat jam 10.30 malam tadi, enam mangsa berjaya diselamatkan pihak berkuasa, manakala seorang lagi warga tempatan yang berusia 60 tahun masih hilang.
Lima daripada pekerja yang berusia 26 hingga 35 tahun itu berasal dari Indonesia, manakala dua lagi lelaki tempatan itu berusia 60 dan 72 tahun.
Lelaki berusia 72 tahun yang berasal dari Ipoh itu dipercayai adalah majikan mereka, terselamat.
Seorang daripada mangsa itu, Hamdan Osman, 35, berkata, dia bersama tiga pekerja lain berpaut kepada penanda laut, menakala tiga lagi berenang hampir dua jam.
Katanya, mereka kemudiannya melambai ke arah sebuah kapal yang dalam pelayaran ke pelabuhan dan memaklumkan pihak berkuasa maritim untuk mendapatkan bantuan.
“Ombak itu amat kuat. Kapal terbalik dan kami berpaut kepada perut kapal.
“Ombak kemudiannya semakin kuat dan kami terlepas genggaman. Mujurlah kami ternampak sebuah bola besar berwarna merah (penanda laut maritim). Tiga daripada kami berpaut kepada bola itu, manakala tiga lagi berpaut kepada sebuah tong.
“Syukurlah anggota bomba tiba dan menyelamatkan kami. Kami tidak tahu berapa lama lagi boleh bertahan jika tidak diselamatkan,” kata Hamdan yang berasal dari Aceh, Indonesia.
Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Pantai, Samsudin Ahmad berkata, kumpulan lelaki itu terbabit dalam kerja penambakan di Gurney Wharf.
Beliau berkata, mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 9.05 malam tadi.
“Tujuh lelaki itu pergi ke Pulau Jerejak untuk mencari batu. Mereka beritahu, ketika dalam perjalanan balik ke Persiaran Gurney, bot mereka terbalik kira-kira 500m dari Pantai Utara.
“Hanya seorang mangsa memakai jaket keselamatan.
“Sehingga kini, kami sudah selamatkan empat pekerja Indonesia dan dua lelaki tempatan. Seorang lagi lelaki dalam usia 60-an dipercayai lemas,” kata Samsudin sambil menambah operasi mencari akan diteruskan dengan bantuan polis marin dan unit bot daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal.