
Dalam satu kenyataan hari ini, Jamal mendakwa kumpulan pendesak perubahan pilihan raya itu mempergunakan pelajar kerana takut perhimpunan Bersih 5 yang dirancangnya, akan gagal.
“Saya menasihatkan pelajar supaya tidak terbabit dengan himpunan #TangkapMO1 yang nampak seperti tidak ada penghujung atau motif,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak mengemukakan sebarang bukti terhadap dakwaannya itu.
Katanya, polis sudah memberikan amaran terhadap himpunan itu yang akan mengganggu ketenteraman awam.
“Himpunan itu sengaja diadakan di Dataran Merdeka di maan rakyat menyambut malam merdeka, oleh itu saya harap pelajar tidak akan terpengaruh dengan tekanan untuk mengadakan demonstrasi haram ini,” katanya.
Jamal berkata beliau bimbang dengan risiko yang terpaksa dihadapi pelajar jika mereka menyertai himpunan itu.
“Pelajar jangan jadi alat yang digunakan parti pembangkang untuk mendapatkan manfaat kotor yang digunakan untuk mencemarkan demokrasi di negara ini,” katanya.
Jamal menjadi penggerak himpunan Baju Merah sebagai tindak balas terhadap bantahan dilakukan Bersih 2.0, pada perhimpunan 16 September tahun lalu selepas Bersih 4 diadakan pada 29 hingga 30 Ogos.
Beliau juga berjanji untuk membawa seramai 300,000 orang untuk berhimpun pada masa, tarikh dan tempat sama dengan himpunan Bersih 5.
Himpunan #TangkapMO1 dianjurkan gabungan kumpulan pelajar dan dijadualkan diadakan esok.
Peserta dijangka bertemu di pusat bandar di Sogo dan Masjid Negara sebelum berarak ke Dataran Merdeka. Ia bertujuan memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap “Malaysian Official 1”, nama yang disebut dalam tuntutan saman Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat sebagai terbabit dalam pencurian wang 1MDB.
Pautan
Kami mahu ‘tangkap MO1’ di Dataran, bukan tempat lain, kata penganjur