
Namun tidak ramai yang tahu sukan yang lebih menjurus kepada hiburan itu sudah bertapak di Malaysia sejak tiga tahun yang lalu, di bawah naungan Malaysia Pro Wrestling (MyPW), sebuah sekolah gusti diasaskan seorang penggemar tegar WWE.
Ayez Shaukat Fonseka berkata beliau mula minat terhadap “wrestling” sejak berumur 4 tahun apabila menyaksikan “The Undertaker” beraksi atas gelanggang.
Ayez menanam tekad menjadi seorang penggusti profesional dan membuka sekolah gusti sendiri.
“Di sekolah rendah, sekolah menengah dan di kolej jika ada yang bertanya apa cita-cita saya, saya akan jawab mahu menjadi penggusti profesional.
“Tidak dinafikan kawan-kawan dan guru mentertawakan cita-cita saya. Mereka rasa gusti ini bukan satu kerjaya serta berpendapat tidak ada ruang untuk penggusti bertapak di Malaysia,” kata Ayez.
Bapa kepada seorang cahaya mata itu menceritakan kepada FMT bagaimana dia mengorbankan wang simpanan berbulan madu demi membuka sekolah gusti.
“Tahun pertama memang susah, selama setahun saya cuma ada 5 orang pelajar. Lima orang ini memang tidak dapat menampung kos perniagaan, kos persembahan.
“Tetapi bila saya wujudkan MyPW saya boleh membantu mereka yang mempunyai minat sama seperti saya boleh mencapai impian mereka tetapi di dalam Malaysia,” katanya.
MyPW kini mempunyai 30 orang ahli, empat daripadanya wanita.
Ayez berkata sukan gusti semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia walaupun tanpa bantuan mana-mana pihak termasuk kerajaan.
Dengan wang sendiri, Ayez ke Amerika Syarikat berlatih dan mendapatkan ilmu di bawah bimbingan salah seorang lagenda dalam industri gusti.
“Saya juga mempunyai mentor iaitu ketua jurulatih WWE Developmental yang pertama. Mereka banyak bimbing saya untuk melatih dan itulah yang saya gunakan di sini,” ujarnya.
Sakit betul atau tipu?
FMT cuba mendapatkan penjelasan Ayez sama ada kesakitan akibat hentakan dan tendangan di atas gelanggang seperti yang ditunjukkan reaksi penggusti merupakan benar atau dipalsukan.
Ayez berkata ia bukan pura-pura.
“Tetapi ada teknik tertentu yang bukan sahaja selamat bahkan kesakitannya hanya dirasai pada waktu itu sahaja dan tidak mendatangkan kecederaan untuk jangka masa panjang,” ujarnya.
Beliau tidak menafikan sukan gusti suatu lakonan seperti teater tetapi ia menggabungkan elemen lakonan dan aksi pergaduhan.
“Ramai orang ingatkan setiap pergerakan dalam gelanggang itu adalah koreograf (dirancang) tetapi ia adalah secara spontan.
“Sebab itu apabila berlatih, kita kena biasakan dengan pelbagai teknik supaya boleh mengetahui situasi yang berlaku di atas pentas secara pantas,” ujarnya.
Wanita juga boleh terajang
Lydia Wayne, 26, seorang eksekutif di sebuah syarikat pengurusan acara, berkata minatnya bergusti timbul selepas diperkenalkan rakan-rakannya pada September tahun lalu.
Dia mengakui gusti didominasi lelaki, tetapi berkata tidak ada persepsi tidak baik terhadap penggusti wanita.
Lydia yang menggunakan nama “Scarlet Lyd” di atas pentas, berkata pada awalnya, penglibatannya tidak dipersetujui bapanya, tetapi kini percaya bapanya menyokong daripada belakang.
“Mak sangat menyokong. Saya rasa dia beritahu ayah dan saya sendiri tidak pernah cakap dengan ayah soal gusti ini, tetapi kebiasaannya hanya dengar melalui ibu sahaja.
“Mak saya cakap, pada awalnya ayah tidak suka tetapi kini sering bertanya mengenai penglibatan saya dalam gusti. Saya rasa dia berbangga dengan saya,” kata anak kelahiran Ipoh itu.
Beliau menerima latihan dan modul yang sama seperti penggusti lelaki.
“Cumanya disebabkan baru lagi, saya tidak boleh lagi buat tendangan tinggi. Saya tengok WWE, boleh rasakan sama bentuk latihan yang sama, cumanya kekuatan tenaga berbeza,” katanya.
Lydia mengakui beberapa persepsi mengenai penggusti wanita, seperti pakaian seksi yang biasa dilihat dalam WWE.
“Kami ada di sini wanita Islam yang bertudung, yang memakai topeng, yang berlengan panjang dan berseluar panjang.
“Jadi penggusti tidak semestinya kena seksi. Bagi wanita Islam, jika berminat, tidak perlu risau,” ujarnya.
Lydia berkata ilmu gusti sedikit sebanyak dapat digunakan untuk mempertahankan diri.
“Stamina untuk wanita juga boleh ditingkatkan kerana stamina amat diperlukan untuk sukan gusti. Jika terlalu kurus, ketika jatuh boleh alami kecederaan sebab dulu saya sendiri sakit belakang dan memang memerlukan otot untuk melindungi sendi.
Penggusti, Dominic Ng, 29, pula sanggup menempah pakaian khusus untuk gusti dari Amerika Syarikat.
“Pelindung lutut saya berharga lebih kurang AS$70 (RM280) dan ‘kick pad’ pada harga AS$30 (RM120). Kita pakai semua ini untuk keselamatan dan untuk keselamatan lawan kita di dalam gelanggang,” kata Dominic, juga dikenali dengan nama pentas “The-D”.
Dominic sanggup berulang dari Singapura ke Kuala Lumpur bagi mengikuti latihan dan persembahan.
“Sudah tentu sakit jika jatuh, tetapi semasa bergusti di hadapan ramai peminat yang bersorak dan mengkritik, perasaan untuk menghiburkan penonton itu timbul.
“Saya mahu berikan penonton masa yang terbaik, kerana mereka bayar dan kita mahu hiburkan mereka,” jelasnya.