
Enam daripada wanita terbabit bertindak meninggalkan kawasan pantai, manakala empat lagi didenda 38 euro (RM171.54).
Polis tidak boleh mengusir wanita dari kawasan pantai kerana memakai burkini dan individu sama hanya boleh didenda sekali sehari. Larangan di Cannes itu akan berakhir 31 Ogos ini.
Selain bandar Cannes, Le Touquet, Oye-Plage dan Leucate turut mengumumkan rancangan untuk melarang pemakaian burkini, dengan alasan pemakaian burkini melanggar undang-undang sekularisme di negara itu, susulan ketegangan berpunca daripada serangan militan di Nice yang meragut 85 nyawa pada Hari Bastille, 14 Julai lalu.
Tindakan itu mencetuskan perdebatan hangat, di mana masyarakat Islam menyifatkan ia tidak berperlembagaan, memecah belahkan dan fobia kepada Islam.
Mahkamah pentadbiran tertinggi Perancis, The Conseil d’Etat akan memutuskan jika larangan pemakaian burkini adalah sah di sisi undang-undang, dalam tempoh beberapa hari lagi.
Perdana Menteri, Manuel Valls dan Menteri Hak Wanita menyokong larangan sementara itu, namun Valls berpendapat ia tidak perlu diperluaskan ke seluruh negara.
Menteri Dalam Negeri Itali, Angelino Alfano berkata, Rom tidak akan mengikut jejak Perancis itu kerana larangan berkenaan bersifat provokatif dan mungkin mencetuskan lebih banyak serangan.
Sebaliknya, beliau berkata, cara terbaik menangani ancaman militan Islam adalah mengusir puak radikal dan semua imam yang dilatih dalam negara itu perlu memastikan mereka bekerja mengikut amalan budaya yang jelas.
Seramai 109 suspek radikal Islam diusir dari Itali sejak tahun lalu, termasuk sembilan imam.
Burkini adalah singkatan bagi burqa dan bikini yang direka untuk wanita Islam bagi menutup aurat mereka ketika berenang, kecuali muka, tangan dan kaki.
Ia direka wanita Australia, Aheda Zanetti pada 2003 dengan memperkenalkan satu siri rekaan pakaian sukan mengikut kehendak agama dan burkini mula muncul di pantai Perancis sekitar 2008.
Zanetti terkejut dengan jualan burkini yang laris di seluruh dunia dan peruncit Britain, Marks & Spencer memaklumkan dua rekaan burkini yang diperkenalkan tahun ini, sudah habis dijual.
“Perancis ketinggalan dalam fesyen Islam,” kata pengasas bersama jenama Fringadine, Helene Agesilas pada Mac lalu, apabila Marks & Spencer serta Uniqlo mula memasarkan pakaian Islam sehingga mencetuskan kontroversi di Perancis.
Agesilas berkata, pasaran pakaian Islam di seluruh dunia mencecah $230 bilion pada 2014 dan mampu mencecah $320 bilion pada 2020.