Olimpik: Malaysia tawar ganjaran keempat terbanyak

Olimpik: Malaysia tawar ganjaran keempat terbanyak

Singapura mendahului dengan ganjaran S$1 juta (kira-kira RM3 juta), Indonesia tawar RM1.5 juta, Thailand memberi ganjaran RM1.26 juta dan Malaysia di tempat keempat dengan RM1 juta.

olimpik-malaysia
PETALING JAYA:
Ganjaran yang ditawarkan kerajaan Malaysia kepada pemenang pingat di Sukan Olimpik adalah yang keempat tertinggi dalam kalangan negara peserta temasya itu.

Oriental Daily memetik statistik yang diperolehi media Jepun menunjukkan, Singapura mendahului senarai itu dengan ganjaran S$1 juta (kira-kira RM3 juta).

Ia disusuli Indonesia yang menawarkan ganjaran RM1.5 juta, Thailand menduduki tangga ketiga dengan ganjaran RM1.26 juta dan Malaysia di tempat keempat dengan RM1 juta.

Di bawah skim insentif Majlis Sukan Negara (MSN) untuk Olimpik, pemenang pingat emas bakal menerima RM1 juta dan pencen bulanan RM5,000, perak pula mendapat RM300,000 dan pencen bulanan RM3,000 manakala gangsa RM100,000 serta pencen bulanan RM2,000.

Persatuan Badminton Indonesia turut mengumumkan pemenang pingat emas akan menerima 1 bilion rupiah (kira-kira RM150,000), perak 500 juta rupiah (kira-kira RM150,000) dan gangsa 250 juta rupiah (kira-kira RM75,000). Tambahan, pemain badminton yang memenangi pingat emas juga bakal mendapat 20 juta rupiah (sekitar RM6,163) setiap bulan.

Di rantau Asia Timur pula, Korea Selatan menawarkan ganjaran kira-kira RM200,000 diikuti Jepun sekitar RM193,000 dan China sekadar RM115,100.

Bagaimanapun, di Jepun, ada persatuan sukan tertentu, seperti ping pong, badminton dan golf turut menawarkan ganjaran sekitar RM380,000 kepada pemenang pingat emas.

Persatuan Golf Korea Selatan pula menawarkan ganjaran kira-kira RM1.15 juta kepada dua pesertanya, jika mereka berjaya merangkul emas, manakala RM575,000 (perak) dan RM380,000 (gangsa). Tambahan, jurulatih juga akan diberikan ganjaran.

Setakat ini, Malaysia sudah meraih dua pingat perak dan satu gangsa menerusi gandingan Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama wanita, pasangan beregu campuran Chang Peng Soon dan Goh Liu Ying dalam acara badminton serta pelumba basikal Azizulhasni Awang dalam acara keirin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.