Selangor catat lebihan semasa RM480 juta

Selangor catat lebihan semasa RM480 juta

Lebihan semasa ini susulan hasil kutipan RM1.86 bilion melebihi perbelanjaan RM1.38 bilion.

azmin-ali
SHAH ALAM: Prestasi kewangan Selangor mencatat rekod baik dengan lebihan semasa RM480 juta kerana hasil kutipan melebihi jumlah perbelanjaan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Lebihan semasa ini direkodkan berikutan hasil yang dikutip sebanyak RM1.86 bilion berbanding perbelanjaan sebanyak RM1.38 bilion.

“Ini bermakna kerajaan negeri mencatat kutipan hasil sebanyak 82% (RM1.86 bilion) berbanding jumlah anggaran terimaan hasil 2016 sebanyak RM2.25 bilion,” katanya dalam sidang media pada Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2017 hari ini.

Beliau berkata, selain hasil tanah, kerajaan Selangor berdepan cabaran utama untuk mempelbagaikan sumber pendapatan baharu.

“Kita perlu meneruskan perancangan ekonomi jangka masa panjang yang strategik dengan unjuran tepat agar kita dapat meneruskan amalan tidak membentangkan belanjawan tambahan,” katanya.

Azmin berkata, perbincangan hari ini turut merangkumi kajian semula kadar kemiskinan, termasuk meningkatkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

“Kita perlu membahaskan sama ada kemiskinan mengikut daerah dan kaum serta penetapan PGK bagi Selangor.

“Satu kajian dijalankan kerajaan negeri untuk menetapkan PGK pada kadar 60% daripada pendapatan isi rumah Selangor iaitu RM3,300,” katanya.

Perbincangan hala tuju Belanjawan 2017 selama dua hari ini mengambil kira pandangan tokoh profesional, wakil industri dan penggubal dasar untuk memberikan pandangan mengenai pembentukan belanjawan negeri.

Inisiatif menggalakkan pertumbuhan ekonomi negeri menjadi komponen terpenting penghasilan Belanjawan 2017.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.