Tidak gentar virus Zika, 32 atlet Malaysia sedia beraksi di Rio

Tidak gentar virus Zika, 32 atlet Malaysia sedia beraksi di Rio

Semua atlet diberikan penerangan dan ubat penghalau nyamuk, selain sampel darah mereka akan diambil sebelum dan selepas temasya empat tahun sekali itu.

malaysia-rio
PETALING JAYA:
Ketua kontinjen Malaysia, Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid mengesahkan tiada atlet negara yang menarik diri daripada Sukan Olimpik Rio di Brazil, walaupun berdepan ancaman penyebaran virus Zika.

“Semua ada dan tidak ada masalah untuk mereka menarik diri daripada menghadapi kejohanan ini. Persediaan dilakukan dan tidak ada masalah dengan ancaman virus Zika.

“Untuk menghindari gigitan nyamuk, semua atlet diberikan penerangan dan langkah pencegahan dengan menggunakan penghalau nyamuk sepanjang masa.

“Atlet juga akan diambil sampel darah sebelum pergi dan selepas kejohanan nanti. Ini bagi mengesan sama ada terdapat virus yang menjangkiti atlet,” katanya yang kini berada di Rio de Janeiro kepada FMT hari ini.

Virus Zika disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes, iaitu vektor sama untuk demam denggi.

Statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan 58 negara terjejas akibat jangkitan virus Zika sejak Januari 2014 hingga 11 Mei lalu, termasuk Brazil.

Antara simptom jangkitan virus Zika ialah demam ringan dan bintik-bintik di badan dan sakit sendi, tetapi ia tidak akan menyebabkan kematian.

Bagaimanapun, ia dikaitkan dengan kelahiran bayi yang mempunyai sindrom mikrosefali atau otak kecil serta sindrom ‘Guillain-Barre’.

 

Mohamed Al-Amin berkata, kontinjen negara yang terdiri daripada 32 atlet negara bersedia memberi aksi terbaik dalam 11 acara untuk memburu pingat emas pertama negara di temasya sukan terbesar dunia itu yang bermula hari ini sehingga 21 Ogos ini.

“Saya boleh katakan mereka semua tidak sabar memulakan cabaran dan memberikan aksi terbaik. Virus Zika tidak akan mengganggu tumpuan semua atlet,” katanya.

Tegasnya, Malaysia tidak meletakkan sasaran pingat secara spesifik untuk Sukan Olimpik Rio 2016, tetapi beliau yakin ada beberapa kejutan akan dilakukan bagi mengatasi pungutan dua pingat pada temasya Olimpik di London, empat tahun lalu.

“Tiada sasaran utama untuk kita target emas dalam kejohanan ini. Cumanya seperti jaguh badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei atau Pocketrocket Man, Azizulhasni Awang menjadi sasaran kita untuk merangkul emas disebabkan kedudukan ranking terkini.

“Disebabkan itu, mereka menjadi sasaran untuk memperolehi emas. Bagaimanapun, atlet lain sudah bersedia bersaing dan memberi kejutan untuk mendapatkan pingat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.