
Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata seorang individu yang neutral perlu memegang jawatan tertinggi badan induk itu bagi mengelakkan berlakunya ‘pilih kasih’.
“Beliau (presiden FAM) juga mestilah seorang yang neutral kepada semua negeri dan kelab yang mengambil bahagian. Ini bertujuan untuk mengelakkan rasuah dan berlakunya sikap pilih kasih,” katanya dalam kenyataan disiarkan di laman Facebook Johor Southern Tigers.
TMJ menerusi kenyataannya itu turut menyarankan presiden dan ahli exco sedia ada dalam FAM mesti digugurkan.
“Ahli exco baru pula perlu terdiri daripada mereka yang berupaya untuk menyumbang dan bekerja demi kepentingan bola sepak negara.
“Jika mereka tidak mampu, maka mereka perlu berundur dan memberi laluan kepada orang yang berkebolehan,” katanya.
Sebelum ini, barisan exco FAM dijangka mahu meninggalkan badan induk itu bagi mengikut jejak langkah presidennya Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Harian Metro melaporkan seorang sumber dalaman FAM dipetik sebagai berkata, kejutan itu akan dibuat dalam Mesyuarat Exco FAM pada 15 Ogos ini, seandainya hasrat Tengku Abdullah diterima.
Sementara itu, Tunku Ismail menegaskan baginda menolak tawaran Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin untuk melantiknya sebagai presiden FAM.
“Saya tidak bersetuju untuk menjadi presiden FAM kerana saya sudah mempunyai JDT. Akan ada konflik kepentingan kerana saya akan lebih cenderung ke arah negeri saya.
“Seperti yang saya nyatakan berpuluh-puluh kali sebelum ini, kita perlu mencari seseorang yang tidak mempunyai sebarang pertalian dengan mana-mana persatuan bola sepak negeri atau kelab yang mengambil bahagian,” katanya.