
TRIER (Jerman): Seorang pelarian Syria dinobatkan ‘ratu wain’ di Jerman dalam cubaan untuk meredakan kemarahan penduduk tempatan terhadap kumpulan pendatang asing itu.
Pembuat wain di wilayah Mosel memilih gadis berusia 26 tahun, Ninorta Bahno sebagai ratu wain untuk mengurangkan ketegangan antara penduduk tempatan dan kira-kira sejuta pelarian Syria yang memasuki Jerman tahun lalu.
Penghormatan tahunan itu biasanya diberikan kepada gadis tempatan yang berasal daripada keluarga pembuat wain.
Banyak kawasan pengeluar wain di Jerman mengamalkan tradisi memilih ratu wain setiap tahun, satu amalan yang bermula sejak awal abad ke-20.
Ninorta yang melarikan diri daripada perang saudara di Syria bersama kakaknya tiga tahun lalu mengucapkan terima kasih kepada penduduk setempat atas penerimaan mereka dan berharap kemenangan itu akan menjadi pendorong buat pelarian lain yang sukar menyesuaikan diri dengan kehidupan di Jerman.
“Saya tahu sebagai pelarian amat sukar menyesuaikan diri di negara baru. Pertama, anda perlu memahami undang-undang dan tradisi di sini, kemudian anda perlu mengamalkannya.
“Jadi, saya mahu menjadi ‘duta’ supaya saya boleh mempraktikkannya dan sesuaikan diri di Jerman, juga untuk pelarian lain,” katanya pada pesta wain di Trier.
Sebagai ratu wain, beliau yang sedang menjalani latihan di sebuah agensi pekerjaan perlu membantu kempen mempromosi wain dari empat ladang anggur di Mosel.
Sebagai penganut Kristian dan bukannya umat Islam seperti majoriti rakyat Syria, Ninorta tidak perlu berdepan larangan meminum alkohol yang merupakan satu aktiviti penting dalam budaya masyarakat Jerman.
“Anda perlu berani bertanya seorang daripada pelarian itu. Saya mahu menghantar satu mesej dengan berbuat demikian.
“Ramai kata kami tidak akan berjaya. Saya kata kami boleh lakukannya dan beliau (Ninorta) menjadi duta wain yang cemerlang,” kata Peter Terg yang merupakan pengerusi Persatuan Pembuat Wain di Trier-Olewig.