‘Cadangan mansuh status bebas cukai Labuan akan jejas pelancongan’

‘Cadangan mansuh status bebas cukai Labuan akan jejas pelancongan’

Cadangan itu dibimbangi akan memberi kesan buruk kepada ekonomi Labuan disebabkan kejatuhan hasil minyak.

Rozman-Isli_labuan_600
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berharap kerajaan tidak akan mengubah status wilayah itu sebagai bebas cukai, kerana bimbang menjejaskan industri pelancongan.

“Saya rasa keistimewaan Labuan bakal terjejas dan ini mungkin memperlahankan industri pelancongan terutama pelancong tempatan dari sekitar Sabah dan Sarawak,” katanya mengulas desas desus Putrajaya mahu memansuhkan Labuan, Pulau Langkawi dan Pulau Tioman sebagai destinasi bebas cukai.

Rozman berkata dengan kejatuhan hasil minyak dan gas, beliau bimbang sekiranya cadangan memansuhkan status bebas cukai Labuan memberi kesan buruk.

Rozman sebaliknya mencadangkan kerajaan mengehadkan kuantiti barangan import dengan munasabah.

“Cadangan akan lebih berkesan sekiranya kerajaan turunkan kadar cukai ke tahap bersesuaian, namun jumlah jangan terlalu rendah,” katanya.

Rozman bagaimanapun menafikan cadangan itu akan diteruskan, dan berkata ia hanya untuk kedai bebas cukai merangkumi arak dan rokok sahaja.

“Kerajaan hanya cadang hadkan kedai bebas cukai merangkumi arak dan rokok sahaja. Namun penangguhan cadangan adalah sehingga November 2016. Selepas tarikh tersebut, kerajaan akan umum sama ada cadangan ini akan diteruskan atau tidak,” katanya kepada FMT.

Status Pulau Bebas Cukai (PBC) untuk Labuan, Pulau Tioman dan Pulau Langkawi merupakan usaha kerajaan menggalakkan industri perdagangan dan pelancongan, di mana pelancong yang melawat tidak kurang dari 24 jam layak menikmati pengecualian duti kastam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.