DBKL lanjut waktu operasi 10 taman awam bermula 5.30 pagi

DBKL lanjut waktu operasi 10 taman awam bermula 5.30 pagi

Menteri Wilayah Persekutuan berkata, waktu operasi baharu itu dilaksana dengan mengambil kira pola penggunaan komuniti, khususnya golongan bekerja dan warga emas.

Waktu operasi bagi Taman Botani Perdana dan Taman Tasik Titiwangsa turut dilanjutkan sehingga 12 tengah malam pada setiap Jumaat dan Sabtu, kata Hannah Yeoh.
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 10 taman awam di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dibuka lebih awal dan dilanjutkan waktu operasinya bermula 5.30 pagi hingga 10 malam, bagi memberi lebih ruang kepada warga kota menjalankan aktiviti riadah dan rekreasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, antara taman terlibat termasuk Taman Botani Perdana, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Metropolitan Kepong, Taman Tasik Permaisuri, Taman Bukit Jalil, Taman Tasik Menjalara, Taman Pudu Ulu, Taman Rekreasi Alam Damai, Taman Tasik Ampang Hilir dan Taman Tasik Danau Kota.

“Waktu operasi bagi Taman Botani Perdana dan Taman Tasik Titiwangsa turut dilanjutkan sehingga 12 tengah malam pada setiap Jumaat dan Sabtu bagi membolehkan orang ramai beriadah pada waktu malam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pelaksanaan waktu operasi baharu itu mengambil kira pola penggunaan komuniti, khususnya golongan bekerja, warga emas serta mereka yang memilih waktu awal pagi untuk beriadah dalam suasana lebih selesa dan kurang sesak.

Tambahnya, aspek kebersihan taman, pencahayaan kawasan, penyelenggaraan tandas awam, kawalan keselamatan serta penyelarasan petugas lapangan turut diberi perhatian bagi memastikan kemudahan awam dapat digunakan dengan selesa dan selamat.

Dalam pada itu, Hannah berkat, beberapa promenade, padang awam dan taman di bawah seliaan Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) turut dibuka seawal 5.30 pagi, termasuk Promenade Persiaran Perdana Presint 2 dan Padang Awam Presint 9 di Putrajaya, serta Padang Awam Dataran Labuan dan Taman Botani Labuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.