
Mahkamah Rayuan Azeri di sini menarik balik lesen televisyen ANS berdasarkan kepada tuntutan yang difailkan Majlis Televisyen dan Radio Negara (NTRC). Undang-undang itu membenarkan pihak berkuasa menutup media yang didapati antara lain menyiarkan propaganda ekstremis atau mendiskriminasikan asas bangsa.
“ANS mengambil kedudukan yang bertentangan dengan kerjasama strategik antara Azeri dan rakyat Turki dengan menawarkan sokongan kepada Fethullah Gulen dan penyokongnya, yang menganjurkan kejadian berdarah membawa kepada banyak kematian,” kata NTRC dalam satu kenyataan.
Presiden Turki Tayyip Erdogan berkata bekas sekutunya Gulen yang mempunyai ramai pengikut di Turki, menjadi dalang dalam cubaan rampasan kuasa pada 15 Julai dan mengetuai jaringan dengan tentera, polis, kehakiman, penjawat awam, media dan sektor pendidik untuk mengawal negara itu.
Gulen, yang hidup dalam buangan di Amerika Syarikat sejak 1999, menafikan tuduhan itu dan berkata rampasan kuasa itu mungkin dirancang Erdogan sendiri.
Seorang wartawan ANS di Washington merakamkan satu temu bual dengan Gulen tidak lama selepas kejadian itu berlaku di Turki, tetapi ia masih belum disiarkan.
ANS TV dimiliki tiga ahli perniagaan Azeri dan sering dilihat sebagai bebas dalam negara kaya minyak itu, di mana pembangkang menuduh Presiden Ilham Aliyev tidak suka kepada perbezaan pendapat dan memenjarakan pengkritiknya.
Baku berkata negara itu – bekas negara republik Soviet, ramai beragama Islam dengan 9 juta penduduk yang bahasanya dekat dengan Turki menikmati kebebasan bersuara dan media pembangkang yang aktif.
Sementara itu, wakil stesen televisyen itu berkata keputusan mahkamah berkenaan tidak demokratik dan mereka akan memfailkan rayuan.
“ANS satu-satunya stesen TV yang tidak dimiliki mana-mana orang berkuasa dalam negara ini,” kata penganalisis bebas Azer Gasymov.
“Penutupan saluran itu boleh dinilai sebagai perintah politik kerana tidak ada bukti menunjukkan ia ada kaitan dengan Fethullah Gulen.”