Anwar gesa kerjasama Malaysia-Turki dalam bidang pertahanan, tenaga dan pembinaan

Anwar gesa kerjasama Malaysia-Turki dalam bidang pertahanan, tenaga dan pembinaan

Perdana Menteri Anwar ibrahim menarik perhatian pada kepercayaan dan persefahaman bersama yang terjalin antara kedua-dua negara selama berabad-abad.

anwar ibrahim Recep Tayyip Erdogan
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan bertukar dokumen memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara. (Gambar Facebook)
ISTANBUL:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berharap Malaysia dan Turki dapat memperkukuh kerjasama dalam sektor strategik seperti pertahanan, tenaga, dan pembinaan, di samping meneroka peluang dalam teknologi baharu termasuk semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).

Berucap pada sesi meja bulat bersama pemain industri Turki dan Malaysia, Anwar menekankan kepercayaan dan persefahaman bersama yang terjalin antara kedua-dua negara selama berabad-abad.

Anwar menyatakan kekuatan Turki dalam sektor pertahanan, pembinaan, dan pembuatan maju melengkapi fokus Malaysia dalam bidang tenaga, teknologi, dan pertumbuhan industri.

“Pencapaian Turki dalam sektor pembinaan tidak ditandingi dan kini sedang berkembang ke arah pembuatan, termasuk dron dan sektor maju yang lain.

“Kekuatan Malaysia pula merangkumi eksport tenaga, terutama LNG, serta fokus pada teknologi baharu seperti E&E (elektrik dan elektronik), semikonduktor, dan AI — bidang di mana kita boleh cipta sinergi bersama.

“Mengapa Turki? Kerana pemikiran kita dalam banyak isu serupa. Daripada pemimpin kerajaan hinggalah rakyat biasa, rakyat Malaysia merasakan hubungan yang kuat dengan sejarah dan tradisi Turki, dan saya berharap anda juga merasakan perkara yang sama terhadap Malaysia.”

Anwar menegaskan Malaysia menawarkan persekitaran yang stabil dari segi politik dan ekonomi yang rancak, menjadikannya destinasi menarik bagi pelabur.

Beliau turut menekankan pencapaian negara dalam sektor E&E, menyatakan eksport semikonduktor E&E ke Amerika Syarikat melebihi USD30 bilion.

“Dari segi strategi, politik, dan ekonomi, kami menganggap adalah penting untuk memberi tumpuan kepada syarikat Turki dan menggalakkan kerjasama dengan firma Malaysia,” kata Anwar.

“Bersama-sama, kita boleh membina pangkalan serantau yang kuat, terutama di Asia, dan meletakkan Malaysia sebagai pintu masuk bagi Turki dan negara-negara jiran.”

Sebanyak 39 syarikat Turki dan tujuh syarikat Malaysia menyertai sesi meja bulat tersebut.

Anwar dalam rangka lawatan rasmi ke Turki dari 6 hingga 8 Januari atas undangan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Beliau diiringi oleh isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Ghani, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Lawatan bertujuan memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan, pelancongan, kerjasama, dan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Turki.

Menurut Wisma Putra, jumlah perdagangan Malaysia dengan Turki dari Januari hingga November 2025 berjumlah RM21.2 bilion (USD4.92 bilion).

Pada 2024, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah USD10 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.