PETALING JAYA: PDRM menafikan penyebaran siaran media bertajuk ‘senarai nama ketua kongsi gelap’ di Malaysia yang didakwa dikeluarkan Ketua Komunikasi Korporat Urus Setia ACP Datin Asmawati Ahmad.
Pegawai urusetia ketua polis negara (komunikasi korporat) Superintenden Venugopal Navaretnam berkata pihaknya tidak pernah membuat sebarang makluman umum mengenai senarai sasaran mana-mana operasi yang hendak dijalankan.
“Tindakan tidak bertanggungjawab ini jelas dilakukan pihak yang cuba menimbulkan kegelisahan dan kegusaran di kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu berkata orang ramai dinasihatkan tidak mempercayai dan menyebarkan sebarang maklumat daripada sumber yang meragukan serta diminta segera merujuk pihak berkuasa bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
