Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mempertahankan Akta MKN, yang diluluskan Disember lalu tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Ia tidak sama seperti pengisytiharan darurat di seluruh negara – bahawa kuasa kekal di bawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong – dan Parlimen masih bersidang dengan mengawasi mana-mana kawasan keselamatan yang diisytiharkan,” kata Najib dalam blognya.
Akta MKN yang berkuat kuasa 1 Ogos ini memberi kuasa kepada perdana menteri untuk mengisytiharkan darurat dan zon keselamatan, dan membenarkan pihak berkuasa melakukan pemeriksaan ke atas individu dan premis di dalam zon tersebut tanpa waran.
Surendran berkata di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri sebelum ini, syarat yang perlu dipenuhi sebelum pengisytiharan zon keselamatan lebih ketat berbanding peruntukan samar-samar dan meluas di bawah Akta MKN.
“Kenapa prosedur mantap dan perlindungan terhadap perlembagaan diketepikan dalam akta baru ini?
“Perdana menteri dan kerajaannya perlu mendukung kedaulatan undang-undang dan semangat serta integriti Perlembagaan Persekutuan dengan memansuhkan Akta MKN pada sesi Parlimen akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Surendran berkata Najib sehingga kini gagal menjelaskan keperluan undang-undang itu serta bentuk ancaman dalaman atau luaran yang dihadapi negara.
“Undang-undang sedia ada seperti Sosma 2012 (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) dan Pota 2015 (Akta Pencegahan Keganasan) memberi kuasa menyeluruh serta drastik kepada pihak berkuasa untuk menangani ancaman itu, termasuk kuasa menahan tanpa perbicaraan.
“Oleh itu, Akta MKN tidak diperlukan, ia adalah satu lagi undang-undang berbahaya. Kemunculannya secara tiba-tiba tahun ini membingung dan membimbangkan rakyat Malaysia serta mendapat publisiti negatif untuk Malaysia di luar negara,” katanya.
Pautan: Isnin ini, Najib bertambah kuat dengan kuasa baharu