Menurut sumber yang dipetik Oriental Daily, kerajaan mengesyorkan Noor Rashid untuk memimpin SPRM berdasarkan sikapnya yang jujur dan kebolehannya memimpin.
Difahamkan, kerajaan menawarkan jawatan itu kepada Noor Rashid ketika beliau dalam lawatan rasmi di London bulan lalu.
Menurut sumber, Noor Rashid meminta diberikan masa untuk mempertimbangkan tawaran berkenaan kerana beliau berhasrat bersara dalam PDRM memandangkan beliau sudah berkhidmat selama 32 tahun dalam pasukan keselamatan itu, selain perlu menghadapi pasukan baru dalam SPRM.
Sumber itu berkata, Noor Rashid akhirnya bersetuju menyerahkan masa depan kerjayanya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk ditentukan.
Abu Kassim bakal menamatkan perkhidmatannya pada 1 Ogos ini.
Pada 23 Jun lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa mengumumkan permohonan Abu Kassim untuk menamatkan perkhidmatannya dengan memberi sebulan notis diperkenankan Yang di-Pertuan Agong mengikut subseksyen 5(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).
Abu Kassim yang dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada 1 Januari 2010 akan meneruskan sumbangannya kepada negara sebagai Pegawai Perkhidmatan Pencegahan Rasuah sehingga bersara wajib pada 6 Disember 2020.
Beliau akan terus menyumbang tenaga sebagai perunding di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Naib Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA) dan ahli lembaga pentadbir Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA) sehingga tamat tempoh pelantikan tersebut.