
Ini kerana jelas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, syarikat itu hanya mendapat kelulusan untuk mengadakan penerbangan demonstrasi pada minggu lalu.
“Kami terima aduan daripada orang ramai mendakwa Suasa Airlines membawa penumpang menggunakan MonSpace Airlines.
“Jabatan Penerbangan Awam (DCA) hanya memberi kebenaran kepada Suasa Airlines untuk melakukan penerbangan demonstrasi,” katanya di luar persidangan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) hari ini.
Liow berkata, DCA hanya mengeluarkan Sijil Operasi Udara (AOC) untuk penerbangan demonstrasi dari Lapangan Terbang Subang ke KLIA dan dari KLIA ke Langkawi pada Jumaat lalu.
“Untuk operasi penerbangan komersil, mereka memerlukan Permit Perkhidmatan Udara (ASP) yang dikeluarkan Mavcom.
“Ia adalah satu kesalahan serius dan melanggar peraturan terbang tanpa kelulusan Mavcom. Syarikat penerbangan itu tidak mendapat pelepasan untuk terbang secara komersil,” jelasnya sambil menambah isu itu membabitkan keselamatan negara.
Sehubungan itu, Liow berkata, Mavcom akan membuat laporan polis terhadap syarikat penerbangan itu dan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada mereka.
Semalam, Mavcom dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan sedang dilakukan ke atas Suasa Airlines yang beroperasi secara komersil tanpa permit, dan pernah menolak permohonan syarikat itu mengendalikan penerbangan komersil Kuala Lumpur-Langkawi pada 22 Julai lalu.
Bagaimanapun, usahawan terkemuka Datuk Seri Jessy Lai menafikan Suasa Airlines mengadakan penerbangan tanpa permit dan mendedahkan dua surat rasmi daripada DCA yang memberi kebenaran kepada Suasa Air berlepas dari Lapangan Terbang Subang ke KLIA pada jam 4 petang Jumaat lalu, serta penerbangan demonstrasi dari KLIA ke Langkawi.
Mengenai ASP yang belum dikeluarkan Mavcom, Lai dilaporkan berkata: “Itu adalah operasi, kami tidak menjual tiket.”