Disebalik bantahan dan kritikan daripada parti Islam PAS dan penceramah kontroversi Ridhuan Tee Abdullah, suasana di sekitar stadium kelihatan terkawal dibawah pantauan polis dan petugas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Seorang pegawai polis yang enggan dinamakan berkata keadaan di stadium dalam keadaaan terkawal dan polis sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga.
Dibawah jagaan pihak berkuasa, remaja pelbagai bangsa turun walaupun cuaca sedikit terik. Mereka membentuk barisan yang sangat panjang dan berlindung di bawah kanopi yang tersedia.
Nur Ameera Sapari, 19, percaya acara akan diteruskan seperti biasa biarpun ada gesaan membatalkan konsert ini pada awalnya.
” Ramai kaum cina dan india hadir ke konsert ini. Kita tinggal di negara majmuk tidak adil rasanya konsert ini dibatalkan hanya kerana sebab tertentu,” ujarnya.
Sebelum ini, Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor Datuk Ahmad Yunus Hairi mengarahkan agar semua masjid di Selangor menganjurkan solat hajat memohon campurtangan Ilahi supaya konsert Selena Gomez dibatalkan.
Arahan itu menyusuli tunjuk perasaan oleh 100 pemimpin dan ahli Dewan Ulama PAS Selangor bersama sayap pemuda dan muslimat parti itu di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah 20 Julai lalu.
Semalam, Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menasihatkan konsert Selena Gomez tidak sesuai dihadiri umat Islam kerana ia bukan sahaja melalaikan tetapi membabitkan soal batasan akhlak.
