9 mati, berpuluh cedera dalam insiden tembakan rambang di Munich

9 mati, berpuluh cedera dalam insiden tembakan rambang di Munich

Mangsa yang terselamat daripada serangan itu menyifatkan ia sebagai adegan yang menggerikan.

Munich-shootin

MUNICH:
Seorang penyerang bersenjata melancarkan serangan tembak rambang ke arah orang awam di bandar Munich pada hari Jumaat.

Serangan dilakukan di pusat beli-belah Olympia ketika orang ramai sedang sibuk membeli-belah dan makan di restoran McDonald.

Pengunjung yang panik melarikan diri sebaik jalan-jalan di luar bangunan dibanjiri polis bersenjata anti-keganasan untuk mengesan serangan yang pada awalnya dijangka dilakukan oleh sekumpulan tiga orang penyerang.

Pihak berkuasa akhirnya menemui mayat lelaki yang dipercayai melakukan serangan, seorang warga Jerman-Iran berusia 18 tahun yang kemudiannya membunuh diri di sebuah lokasi kira-kira satu kilometer dari pusat membeli-belah.

Sekurang-kurangnya sembilan orang disahkan mati dan lebih 20 orang cedera dalam serangan keganasan berkenaan, lapor AFP.

Polis masih meneruskan pemburuan dan menggesa penduduk bandar ketiga terbesar di Jerman itu untuk tinggal di dalam rumah, menutup semua bangunan beli-belah.

“Perhatian -.Elakkan kawasan kejiranan sekitar OEZ (Olympia) dan kekal di kediaman masing-masing, jangan turun ke jalan,” tweet seorang polis Munich.

Stesen kereta api utama di Bavarian telah dipindahkan dan perkhidmatan bas, metro serta tram digantung.

Mangsa yang terselamat daripada serangan itu menyifatkan ia sebagai adegan yang menggerikan.

“Kami masuk McDonald untuk makan … sebaik melangkah dalam kami lihat kanak-kanak menangis, orang ramai panik dan berlari keluar,” kata seorang wanita yang akui mendengar tiga das tembakan kepada televisyen awam Bavaria.

Rakaman video di media sosial muncul menunjukkan seorang lelaki berbaju hitam berjalan keluar dari McDonald sambil menembak berulang kali pada sekumpulan orang yang menjerit melarikan diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.