Diana Danielle sokong kaedah bersalin dalam air

Diana Danielle sokong kaedah bersalin dalam air

Diana berkata demikian selepas dia sendiri menggunakan kaedah itu untuk kedua-dua anaknya yang kini berusia tiga tahun dan lapan bulan.

daniel-waterbirth

PETALING JAYA:
Pelakon Diana Danielle yang juga ibu kepada dua orang anak menyokong kaedah bersalin dalam air dan merasakan ia cara yang selamat untuk diguna pakai.

Memetik kenyataannya di Projek MMO, Diana berkata demikian selepas dia sendiri menggunakan kaedah itu untuk kedua-dua anaknya yang kini berusia tiga tahun dan lapan bulan.

Dia turut mempersoal kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menetapkan beberapa garis panduan untuk ibu yang mahu melahirkan anak menggunakan kaedah bersalin dalam air.

Menurut Diana, sebagai seorang ibu yang menggunakan kaedah itu dua kali, dia bukan sahaja berjaya melaluinya dengan selamat malah anak-anaknya juga tidak mengalamai sebarang masalah.

“Saya juga akan memilih kaedah ini untuk kelahiran anak-anak saya yang seterusnya. Saya selesa dengan cara ini,” kata isteri kepada pelakon Farid Kamil.

Dia melahirkan anak pertamanya menggunakan kaedah itu di Australia manakala anak kedua di sebuah hospital swasta di sini.

Tambahnya, para doktor yang menggunakan kaedah ini terhadap ibu juga menjalankan tanggungjawab sebaiknya dengan menjaga mereka secara rapi dan terurus.

Pada Khamis, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM sedang menyediakan garis panduan bersalin dalam air untuk hospital di Malaysia.

Hanya jika KKM berpuas hati dengan garis panduan, kaedah ini boleh ditawarkan oleh hospital yang memohon berbuat demikian, petik kenyataan kementerian.

Antara kriteria yang dicadangkan ialah hanya ibu yang tidak mempunyai sebarang komplikasi dibenarkan menggunakan kaedah ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.