Bukan seluruh Angkatan Tentera Turki cuba guling kerajaan

Bukan seluruh Angkatan Tentera Turki cuba guling kerajaan

Kedutaan Turki di Malaysia menegaskan, cubaan rampasan kuasa itu dikendalikan konco-konco dalam kalangan angkatan tentera.

Recep-Tayyip-Erdogan_turki_600

KUALA LUMPUR:
Kedutaan Turki di Malaysia menafikan pembabitan keseluruhan angkatan tentera negara itu dalam cubaan rampasan kuasa semalam.

Dalam kenyataan kepada Bernama hari ini, kedutaan itu turut mengulangi Presiden Tayyip Erdogan masih berkuasa dan menafikan cubaan menggulingkan kerajaan Turki yang dipilih secara demokrasi berjaya.

“Presiden dan kerajaan kami masih berkuasa. Angkatan Tentera Turki tidak terbabit dalam cubaan rampasan kuasa ini secara keseluruhannya.

“Ia dikendalikan konco-konco dalam kalangan angkatan tentera dan mendapat respons selayaknya daripada negara kami,” menurut kedutaan itu.

Menurut laporan, kenyataan tentera yang disiarkan media Turki pada Jumaat menyebut angkatan tentera merampas kuasa sepenuhnya di negara berkenaan, bagaimanapun Erdogan pada awal Sabtu menegaskan cubaan itu gagal dan menggesa rakyat menjunjung demokrasi.

Erdogan menyalahkan cubaan menjatuhkan kerajaan itu ke atas pergerakan diketuai pendakwah Turki, Fethullah Gulen yang kini tinggal di Pennsylvania, Amerika Syarikat.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.