Kanak-kanak retak tulang dahi terkena kapal terbang mainan

Kanak-kanak retak tulang dahi terkena kapal terbang mainan

Kapal terbang kawalan jauh yang dikawal seorang lelaki berusia 40 tahun, tiba-tiba terjatuh lalu terkena kepalanya.

Muhamad-Ammar-Izzuddin

ALOR SETAR:
Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun terpaksa menjalani pembedahan membetulkan tulang dahinya yang retak akibat terkena kapal terbang kawalan jauh dalam kejadian di Pekan Kampung Lalang, Baling, Jumaat lepas.

Muhamad Ammar Izzuddin menjalani pembedahan itu pada 11.30 pagi semalam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, kata bapanya Muhamad Zambri Zakariahari ini.

Beliau berkata kejadian 6.30 petang itu berlaku semasa anaknya menaiki motosikal bersama-sama anggota keluarganya apabila sebuah kapal terbang kawalan jauh, yang dikawal seorang lelaki berusia 40 tahun, tiba-tiba terjatuh lalu terkena kepalanya.

Ketika kejadian, beliau berada di rumah dan dimaklumkan mengenai perkara itu, yang menyebabkan anaknya mengalami pendarahan di bahagian kepala dan telinga, oleh kakak iparnya.

“Anak saya menaiki motosikal dengan kakak saudaranya yang berumur 19 tahun untuk ke pasar malam berhampiran. Selepas kapal terbang terkena kepala anak, kakak ipar terus membawanya ke Hospital Baling sebelum diminta menjalani ujian imbasan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani,” katanya kepada pemberita.

Zambri berkata selepas ujian imbasan itu, anaknya dirujuk ke HSB untuk rawatan lanjut kerana dahinya luka sepanjang enam sentimeter dan sedalam dua sentimeter.

Beliau yang kesal dengan kejadian itu berkata kapal terbang kawalan jauh itu tidak sepatutnya dimainkan di kawasan terbabit kerana ia berhampiran dengan kawasan yang dikunjungi orang ramai.

Sementara itu, isterinya Nor Hafiza Harun, 32, berkata beliau terkilan dengan pemilik kapal terbang kawalan jauh itu yang langsung tidak memohon maaf kepada keluarganya selepas permainan itu menyebabkan kecederaan di dahi anaknya.

“Dia tidak datang bertanya khabar selepas kejadian dan tindakan itu dilihat tidak bertanggungjawab. Saya akan bawa kes ini ke muka pengadilan kerana ini melibatkan masa hadapan anaknya saya kerana kita tidak tahu kesannya kepada anak saya akibat kejadian itu,” katanya.

-Bernama

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.