
Beliau berkata, siasatan terperinci sedang dilakukan bagi mengenal pasti bentuk bantuan susulan akan diberikan, dengan perhatian khusus akan diberikan kepada mangsa mengalami kecederaan serius seperti patah kaki, kehilangan anggota badan dan kecederaan jangka panjang.
Katanya, mangsa mengalami kecacatan kekal akan melalui proses siasatan dan penilaian sebelum bantuan susulan disalurkan.
“Dari segi jumlah mangsa yang alami kecacatan kekal akibat insiden ini masih dalam siasatan kerana ada mangsa masih menerima rawatan di hospital, termasuk di Perak dan Terengganu,
“Jadi, biarlah mereka stabil dahulu sebelum kita jalankan proses lanjut yang perlu dilakukan secara berhemah,” katanya menurut Sinar Harian selepas menziarahi mangsa nahas itu, Nur Ain Najwa Mohd llias, 23, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Gong Kemuntong di Besut.
“Kita tidak mahu mereka yang mengalami kecederaan kekal ini terbeban dari sudut kewangan dan emosi. Tanggungjawab kita adalah hadir membantu mereka sebaik mungkin.”
Noraini berkata, mesyuarat pasca Kabinet kementerian turut memutuskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turun padang melakukan siasatan ke atas semua mangsa untuk memastikan tiada yang tercicir menerima bantuan.
Dalam nahas 9 Jun lalu, 15 penuntut UPSI maut selepas bas sewa khas dari Jertih, Terengganu ke kampus utama di Tanjung Malim, Perak melanggar bahagian belakang Perodua Alza, sebelum terbabas dan terbalik di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Tasik Banding.
Seramai 33 lagi mengalami pelbagai kecederaan dan masih ada mangsa dirawat di hospital.