
“Peletakan jawatan itu kita dengar begitu sahaja dan setakat ini surat peletakan jawatan belum ada sampai ke tangan kami di pejabat Badan Perhubungan Umno Sabah,” katanya selepas menyerahkan sumbangan kuih-muih Aidilfitri kepada anggota keselamatan hari ini.
Sehubungan itu, Yahya turut memberi peringatan kepada ahli Umno negeri supaya bertenang dan tidak terikut-ikut dengan mereka yang membuat tindakan berlainan daripada konsep Umno, iaitu taat dan setia berkhidmat kepada parti.
“Saya ingin menasihatkan anggota Umno negeri agar bertenang dan memberi perhatian kepada arahan selanjutnya dari pucuk pimpinan parti,” katanya.
Timbalan Ketua Menteri itu juga berkata, mana-mana ahli Umno yang terlanjur melakukan tindakan tidak sewajarnya masih ada masa dan peluang untuk berfikir, sekali gus menyatakan kesetiaan dan kembali kepada perjuangan asal.
Dalam pada itu, beliau berkata setiap ahli Umno harus akur kepada keputusan pucuk pimpinan dan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dipilih, sekali gus diberi kepercayaan ahli Umno UMNO sendiri untuk mengurus tadbir parti.
“Apabila mereka membuat keputusan seperti memecat, menggantung keanggotaan atau mengambil tindakan disiplin lain, kita semua (perlu) memberi sokongan untuk memastikan perjuangan parti itu tidak dikotori dan tidak disalahgunakan,” katanya.
Isnin lalu, Naib Ketua Umno Bahagian Semporna, Datuk Dr Jaujan Sambakong mengumumkan keluar parti bersama tiga ketua sayap dan 300 ketua cawangan di bahagian itu, susulan tindakan MT Umno menggantung keanggotaan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal minggu lalu.
Kelmarin, Ketua Puteri Umno Bahagian Semporna, Zakiah Kalipunya menafikan beliau keluar daripada Umno, sebaliknya akan terus setia bersama Umno dan masih Ketua Puteri bahagian itu.
– BERNAMA