“Balu Dharmendran dan ahli keluarga mendiang berdukacita dengan keputusan itu,” kata N Surendran, mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Rabu lalu yang membebaskan empat anggota polis yang didakwa membunuh Dharmendran pada 21 Mei 2013.
“Sekiranya mahkamah memutuskan keempat-empat anggota polis itu tidak bunuh Dharmendran, jadi siapa pembunuhnya?” soal Surendran.
Pihak keluarga mahu penjelasan daripada Ketua Polis Negara dan Peguam Negara mengenai kegagalan mendapatkan sebarang pendakwaan dan menyoal langkah yang akan diambil susulan keputusan mahkamah, tambah peguam.
Tidak ada keraguan Dharmendran dibunuh ketika dalam tahanan polis, tambah Surendran.
“Tubuhnya ada 52 kesan kecederaan dan telinganya dikokot ketika mendiang masih hidup,” katanya lagi.
Surendran berkata pada 28 April lepas, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam laporannya menyimpulkan Dharmendran mati akibat penggunaan kuasa fizikal oleh polis.
Surendran mengeluh tiada seorang anggota polis didapati bersalah meskipun terdapat bukti pembabitan polis dalam kematian itu.
“Tiga tahun berlalu selepas kematian Dharmendran, balu dan keluarganya belum mendapat keadilan atau penutup.
“Perasaan keluarga mendiang tidak boleh digambarkan.”
