Honda Malaysia Sdn Bhd dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan rekod syarikat itu menunjukkan tiga notis panggilan balik dihantar kepada pemilik berkenaan untuk menggantikan inflator beg udara Takata di bahagian penumpang dan pemandu.
“Rekod kami menunjukkan pembaikan untuk panggilan balik itu tidak pernah disempurnakan,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, laporan rasmi berhubung punca kematian mangsa belum dikeluarkan dan Honda sedang berhubung dengan wakil keluarga mangsa untuk membantu menyelesaikan masalah mereka.
“Kami menzahirkan rasa simpati kepada keluarga pemandu yang sedang mengharungi saat-saat sukar,” kata syarikat itu.
Terdahulu, Honda mengesahkan ketika melakukan pemeriksaan bersama Polis Diraja Malaysia, inflator beg udara pemandu seperingkat (SDI) Takata didapati pecah dalam kemalangan membabitkan Honda City keluaran 2005 itu, semalam.
Suri rumah Norazlin Haron, 44, terbunuh di tempat kejadian pada jam 12.30 tengah hari Ahad dalam nahas membabitkan kereta Honda City mangsa dan sebuah Mercedes Benz, dipercayai akibat serpihan besi yang terpelanting daripada beg udara di stereng kereta terkena dadanya.
Ini adalah kematian keempat membabitkan beg udara di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun ini.
Kemalangan itu berlaku tiga hari selepas Honda Malaysia memanggil balik lebih 147,894 unit kenderaannya bagi menggantikan inflator beg udara bahagian penumpang hadapan, Khamis lalu.
Panggilan balik itu membabitkan Honda Accord keluaran 2003-2011, City (2009-2011), Civic (2007-2011), CR-V (2008-2011), Freed (2009-2011), Insight (2011), Jazz (2009-2011) dan Odyssey (2004-2008).