
Panel tiga hakim diketuai Hakim Azman Abdullah mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 30 tahun terhadap Siti Aisyah Samdin, yang sebelum ini diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Seremban.
“Mahkamah mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi, tertuduh dilepas dan dibebaskan,” kata Azman yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Rayuan Choo Kah Sing dan Hakim Mahkamah Tinggi Amarjeet Singh.
Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, Azman berkata, kegagalan pihak pendakwaan memanggil pemilik kenderaan tempat dadah itu dijumpai adalah satu kecacatan yang serius, memandangkan kenderaan terbabit telah dipinjam oleh perayu dan dia ditahan tidak lama kemudian.
Beliau berkata, terdapat salah arah dalam sabitan itu dari segi isu pemilikan eksklusif dan kawasan terhadap kenderaan terbabit.
Siti Aisyah, yang akan berusia 38 tahun bulan depan, sebelum ini disabitkan kesalahan mengedar dadah dan dijatuhi hukuman penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 24 Julai 2024.
Berdasarkan kertas tuduhan, kesalahan dilakukan di dalam sebuah kereta BMW di kawasan tempat letak kenderaan berhampiran sebuah pasar raya besar di Taman Lavender Heights, Seremban, Negeri Sembilan, pada 12 Ogos 2020.
Fakta kes mendedahkan pihak polis yang menjalankan pengawasan telah menahan Siti Aisyah yang ketika itu sedang mendukung seorang bayi dan kelihatan gelisah, kerap memandang sekeliling tanpa tujuan jelas.
Dalam pembelaannya, ibu lima anak itu berkata, dia meminjam kereta itu daripada isteri pertama suaminya.
Siti Aisyah menjelaskan dia telah pergi ke Semenyih untuk mengambil barangan dan singgah sebentar untuk membeli keperluan bayinya yang berusia enam bulan, sebelum ditahan.
Di Mahkamah Rayuan hari ini, Siti Aisyah diwakili peguam Paul Krishnaraja, Amy Chong dan Virochean Stephan Soosai, manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Aznin Mohamed Ariff dan Mohd Zain Ibrahim mewakili pihak pendakwaan.