Malah, Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan sendiri tampil memberi penjelasan seolah-olah sedar insiden tersebut bermain-main dalam fikiran wartawan yang tersenyum simpul melihat beliau di sidang media mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada Jumaat.
“Kenapa anda senyum-senyum? Anda asyik fikir mengenai seluar dalam saya? Tapi nasib baik saya pakai seluar dalam warna putih, kalau pakai yang bercorak atau polkadot lagi susah,” katanya yang disambut dengan gelak tawa.
Beliau yang akui tidak malu, malah enggan menyembunyikan insiden itu dengan membuat tuntutan palsu ia sebagai gambar disunting menyatakan kejadiaan itu terjadi ekoran berat badannya susut akibat berpuasa.
“Tambahan pula, saya lupa pakai tali pinggang!” ujarnya.
Dalam pada itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Penerangan Umno, yang turut memasuki bilik sidang media itu juga disindir Ku Nan.
“Ni semua salah Datuk Hishammuddin, seluar saya terlondeh…tapi dia tetap genggam tangan saya tak nak lepas. Saya nak cepat-cepat tarik seluar.
“Sudahlah tak nak lepas, beliau pula yang tengok seluar saya ketika itu,” kata Tengku Adnan sambil ketawa, lapor sebuah portal dalam talian.
Membalas kata-kata Ku Nan, Hishammuddin pula segera mencapai tangan Ku Nan dan melakonkan semula aksi mengangkat tangan seperti yang berlaku di Sungai Besar.
“Nasib baik Ku Nan duduk, kalau dia berdiri nanti terlondeh lagi.
“Saya terkejut macam mana seluar Ku Nan boleh terlondeh. Nasib baik beliau pakai seluar dalam,” katanya sambil menerangkan kejadian itu seperti mimpi ngeri baginya.
