Uber tidak akan tunduk kepada keganasan

Uber tidak akan tunduk kepada keganasan

Uber di Malaysia menyediakan pasukan kecemasan beroperasi 24 jam sepanjang tahun memberi bantuan kepada pemandunya.

uber-bos

PETALING JAYA:
Uber tidak akan tunduk kepada sebarang ancaman atau keganasan susulan kemarahan pemandu teksi terhadap pemandu perkhidmatan perkongsian kenderaan itu.

Pengurus Besar Uber di Malaysia, Leon Foong melalui pegawai perhubungannya berkata, jika perlu, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan pemandu serta penumpang Uber terjamin.

“Uber Malaysia mempunyai sepasukan anggota kecemasan beroperasi 24 jam sepanjang tahun bagi memberi bantuan kepada pemandu yang memerlukan. Ini juga adalah salah satu strategi kami dalam mengutamakan keselamatan penumpang dan pemandu.

“Jika berlaku sebarang insiden, pemandu Uber boleh menghubungi talian kecemasan, kami akan berikan bantuan berdasarkan keadaan, termasuk dari segi undang-undang dan siasatan jika perlu,” katanya dipetik China Press semalam.

Tegasnya, matlamat penubuhan Uber di Malaysia ialah memberi perkhidmatan perkongsian kenderaan yang selamat dan boleh dipercayai.

Isnin lalu, dua anak-beranak dari Iran dan pemandu Uber dikatakan diserang lebih 50 pemandu teksi yang “menyorok” di KL Sentral sebaik sahaja mereka memasuki kereta.

Wanita dan anaknya bersama pemandu Uber itu kemudiannya ditarik keluar dari kenderaan terbabit.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dilaporkan sebagai berkata, seorang pemandu teksi berusia 44 tahun ditahan di Batu Caves pada jam 11.15 malam Rabu lalu.

Jelasnya, setakat ini polis hanya menerima laporan pelancong wanita Iran itu manakala pemandu Uber terbabit belum membuat laporan.

Amar Singh turut mengesahkan hanya seorang pemandu teksi terbabit dalam kes berkenaan, manakala yang lain adalah “penonton” kejadian. Kereta Uber itu juga tidak mengalami sebarang kerosakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.