Tidak adil label komuniti Afrika – bekas ratu cantik Malaysia

Tidak adil label komuniti Afrika – bekas ratu cantik Malaysia

Deborah berkata kejahatan seseorang tidak patut disamakan dengan seluruh warga Afrika di negara ini.

deborah_talk

KUALA LUMPUR:
Tidak adil melabel atau stereotaip sesebuah komuniti hanya kerana kesilapan beberapa individu, kata bekas ratu cantik Miss Malaysia Universe, Deborah Henry.

“Perkauman dan diskriminasi tidak banyak perbezaannya, seorang individu jahat tidak patut disamakan dengan seluruh komuniti,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama FMT.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan baru-baru ini mengenai penduduk Pangsapuri Waja di Taman Tun Perak, Cheras secara terbuka menggantung kain rentang tertera “Katakan Tidak Kepada Rakyat Afrika.”

Kain rentang itu turut menggesa ejen hartanah tidak menyewakan unit-unit pangsapuri kepada warga Afrika.

Deborah yang juga pengasas bersama Fugee School yang menyediakan pendidikan untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan dan pelarian menjelaskan, globalisasi menyebabkan penghijrahan pendatang dari pelbagai negara, bangsa dan budaya.

“Sudah tentu timbul isu-isu di mana sekumpulan besar pendatang membanjiri kawasan tertentu dan tinggal di sana. Kadangkala ada di kalangan mereka yang terlibat dalam aktiviti haram.

“Tetapi akhirnya setitik nila tidak patut merosakkan susu sebelanga.

“Jika ada beberapa orang melakukan kesalahan maka mereka perlu dihukum. Bagaimanapun, anda tidak boleh menghukum semua orang atas kesalahan orang lain,” katanya.

Beliau menyifatkan tindakan menggantung kain rentang perkauman di kawasan perumahan sebagai tidak sihat dan isu sedemikian perlu ditangani sewajarnya.

“Saya tidak fikir ia adalah perkara sihat kerana itu adalah permulaan sebelum perkara paling buruk berlaku.

“Ia bergantung kepada semua orang untuk kerja bersama dan pihak berkuasa perlu mengenal pasti dan menyelesaikan isu itu,” katanya.

Awal minggu ini, media melaporkan kain rentang anti warga Afrika itu turut timbul di Shah Alam dan Sunway.

Kain rentang itu mendapat reaksi besar daripada masyarakat Afrika di mana mereka berpendapat ia bercanggah gambaran Malaysia di mata dunia yang dianggap sebuah negara harmoni, berbilang kaum dan mesra.

https://vimeo.com/172059382

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.