Bagaimanapun, katanya untuk menyatakan hukum pengambilannya adalah wajib dan berdosa kepada ibu bapa yang tidak mengambilnya adalah tersasar daripada pandangan yang benar.
Katanya, ini kerana penggunaan vaksin adalah salah satu usaha dijangka dengan sangkaan yang kuat membantu mencegah penyakit pada masa depan, bukan satu-satunya usaha pencegahan.
“Islam mendidik umat dengan konsep penjagaan kesihatan antaranya berasaskan kaedah menjaga lebih baik daripada merawat.
“Mendapatkan rawatan awal bagi pencegahan penyakit yang dibimbangkan berlaku pada masa hadapan adalah bertepatan dengan saranan syarak,” katanya.
Sebelum ini, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan individu yang menolak penggunaan vaksin untuk mencegah penyakit berjangkit yang mengancam nyawa adalah berdosa.
Beliau berkata, ibu bapa yang memilih untuk tidak membenarkan anak mereka divaksin tanpa langkah pencegahan lain yang terbukti lebih efektif juga berdosa kerana meletakkan anak mereka dalam keadaan bahaya.
Katanya, syariat Islam antaranya menuntut pemeliharaan kesihatan dan nyawa dan dalam konteks berkaitan penggunaan vaksin perlulah berpegang kepada konsep Islam.
