Bekas ketua ahli ekonomi Kumpulan RAM Holdings, Dr Yeah Kim Leng, berkata GLC di kedua negara itu turut berdepan tekanan politik dan campurtangan kerajaan namun masih dalam keadaan baik.
Profesor di Universiti Niaga Sunway itu berkata di Singapura, ketua pegawai eksekutif (CEO) diberi kebebasan menggaji yang terbaik atau memecat mengikut budi bicaranya.
“CEO menetapkan nada urus tadbir dan amalan terbaik supaya setaraf dengan piawaian antarabangsa, cara lain tidak boleh diterima,” katanya kepada FMT.
Sekiranya CEO gagal meraih keuntungan, kerajaan tidak akan jamin keluar GLC itu sebaliknya menggajikan pasukan baru menguruskan syarikat berkenaan, katanya.
“Lembaga pengarah sentiasa berwaspada kerana menyedari mereka perlu buat sehabis baik. Atas sebab itu mereka menggaji yang terbaik untuk menyertai pasukan mereka.”
Budaya GLC Malaysia
Di Malaysia, beliau berkata CEO tidak menikmati kebebasan yang sama, sebaliknya mereka beroperasi pada dua tahap berbeza. Satu untuk memaksimumkan keuntungan dan satu menyediakan peluang pekerjaan.
“CEO tidak boleh menggaji atau memecat mengikut budi bicara. Itu sekatan pertama yang dihadapi CEO GLC di Malaysia. Mereka terhimpit antara memaksimumkan keuntungan dan kewajipan mengekalkan orang.
“Keadaan itu boleh dilihat di Malaysia Airlines yang menggaji orang lebih daripada yang diperlukan tetapi CEO tidak boleh pecat kakitangan.”
Masalah kedua adalah GLC tidak hadapi persaingan.
Di China, kerajaan mewujudkan sekurang-kurangnya dua atau tiga pemain dalam industri yang sama.
“GLC bersaing sesama sendiri. Untuk bertahan, mereka perlu sentiasa berjaga-jaga.
“Di sini tidak ada persaingan. CEO tidak berdaya saing. Kerajaan jamin keluar GLC. Itu menyebabkan CEO dan ahli lembaga pengarah kurang berdaya saing.”
Yeah berkata terlampau banyak campurtangan politik sehingga menyukarkan para CEO melaksanakan kemampuan urustadbir mereka sepenuhnya.
Di Malaysia Airlines contohnya, penyusunan semula perniagaan itu mustahil dilakukan walaupun seorang warga asing Christoph Mueller diberi tanggungjawab itu kerana kakitangan GLC berlebihan atau tidak boleh dipecat.
“Adalah menjadi tanggungjawab sosial GLC untuk menyediakan pekerjaan. Itulah yang menyebabkan GLC kerugian dari segi mencari untung kerana perlu memenuhi tanggungjawab sosial.”
Beliau menegaskan GLC perlu beroperasi sebagai identiti korporat.
Tambahan pula, MAC sudah tiga atau empat kali dijamin keluar.
“Mereka tahu kerajaan akan jamin keluar. Tetapi penstrukturan semula tidak mendalam. Syarikat perlu dibaik pulih untuk buat duit.”
Maybank dan Petronas
Beliau berkata GLC seperti Maybank dan Petronas antara GLC yang berjaya. Syarikat minyak negara, Petronas diberi kebebasan untuk membangunkan syarikat itu ke tahap dunia, katanya.
“Mereka perlu bersaing dengan syarikat-syarikat minyak antarabangsa. Mereka mesti menggaji yang terbaik untuk menjalankan syarikat itu. Dari awal lagi syarikat berada di jalan yang betul. Mereka bangunkan piawai tersendiri. Mereka perlu mengekalkannya atau prestasi akan terjejas lantaran penurunan harga minyak.”
Begitu juga dengan Maybank Banking Berhad.
Menurut Yeah, syarikat itu beroperasi sepertimana pertubuhan korporat lain.
Satu lagi GLC, Telekom, tidak berada dalam keadaan baik pada awalnya. Namun selepas berdepan persaingan sengit daripada syarikat telekomunikasi swasta, Telekom mulakan usaha baik pulih.
“Sekarang mereka lebih baik. Ini menunjukkan syarikat itu perlukan persaingan. Mereka perlu mendepani ancaman, tanpa jamin keluar kerajaan.
“Hanya dengan itu GLC di Malaysia akan menyaksikan perubahan. Mereka tahu mereka tidak punya pilihan selain berdiri atas kaki sendiri.”
Mengulas mengenai Proton, Kim Leng berkata perusahaan automobil merupakan industri berkos tinggi tetapi kerajaan tetap mahu melabur dalam industri itu.
“Model jual kereta sedia ada tidak berhasil kecuali kerajaan menjalin kerjasama syarikat-syarikat kereta lain yang punyai pasaran tertentu. India beli syarikat Jaguar dan Land Rover. China juga beli beberapa syarikat. China dilaporkan membeli Volvo.”
Beliau berhujah kelangsungan Proton tidak lagi boleh disandarkan pada kebanggaan nasional.
“Soalnya bagaimana untuk hidup. Proton pemain kecil dan mereka perlu mencari cara untuk bekerja disamping pemain besar sekiranya mahu berjaya.”
Beliau menambah, GLC di Malaysia ditubuhkan menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam sektor swasta dan menyaksikan terlahirnya sekumpulan usahawan Melayu berjaya.
“Namun jumlahnya masih kecil. Untuk berjaya, usahawan tidak boleh bergantung kepada syarikat penaung. Mereka perlu berani bertaruh dalam dan luar negara. Itu akan membuka peluang kepada orang lain untuk meraih manfaat daripada penubuhan GLC.”
