
“Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak bersedia dan siap untuk menjawab cabaran undang-undang yang dimulakan oleh Petronas,” kata penasihat undang-undang negeri, JC Fong, lapor The Borneo Post.
Fong bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai implikasi kes tersebut.
Petronas memfailkan usul itu di Mahkamah Persekutuan pada Isnin, menamakan kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak sebagai responden, bagi memastikan operasinya di negeri itu mematuhi undang-undang dan amalan tadbir urus yang terpakai.
Menurut Petronas, usul tersebut bukan bertujuan mencabar aspirasi pembangunan Sarawak atau menyekat Petroleum Sarawak Bhd (Petros) selaku agregator gas tunggal negeri.
Sebaliknya, syarikat itu memohon penentuan muktamad daripada Mahkamah Persekutuan berhubung kedudukan undang-undang yang terpakai bagi sektor petroleum di negeri tersebut.
Menurut Petronas, keputusan memfailkan usul itu menyusuli beberapa siri dialog dan rundingan bersama Petros, serta pihak berkuasa persekutuan dan negeri sejak 2024.
Premier Sarawak Abang Johari Openg kemudian menyatakan kerajaan negeri menyerahkan kepada kebijaksanaan mahkamah untuk membuat keputusan berhubung permohonan Petronas itu, yang disifatkannya sebagai perkara ‘biasa’.