Fathul Bari: Tak perlu paksaan dalam isu vaksin

Fathul Bari: Tak perlu paksaan dalam isu vaksin

Ulama Umno itu berkata beliau tidak berani mengatakan hukum vaksin kerana pandangan mengenainya berbeza-beza.

fathul-bari_vaksin_600

PETALING JAYA:
Sama ada hendak mengambil suntikan vaksin atau menolaknya, terpulang kepada pilihan masing-masing, menurut Dr Fathul Bari Mat Jahya.

“Saya setuju dari sudut persepektif harus diberi pilihan kepada orang, dia nak atau tidak membuat suntikan vaksin. Pada masa sama juga saya bersetuju dalam situasi tertentu haram kita menolaknya, sebagai contoh ia bertujuan untuk ketahanan badan sehingga memerlukan kita mengambilnya,” kata ahli Jawatankuasa Pemuda Umno itu yang kerap menjadi rujukan agama dalam parti itu.

Katanya, masyarakat tidak harus menuding jari kerana isu suntikan vaksin boleh dinilai daripada sudut luas berdasarkan pandangan ulama.

Sesetengah ulama sepert Yusuf al-Qaradawi membenarkan penggunaan sumber babi, berbeza dengan pandangan lain yang mengharamkan penggunaannya sehingga dibuktikan sakit, tambahnya.

“Malah ada juga berpandangan bahawa vaksin ini tidak diperlukan kerana suntikan itu dibuat sekiranya perkara itu tidak diperlukan pada waktu itu, sebagai contoh suntikan itu dibuat sebelum sakit.

“Hal ini kerana perbezaaan menilai perbincangan isu perubahan makanan, minuman halal haram ini sangat luas,” katanya ketika dihubungi FMT.

Sebelum ini, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata adalah berdosa bagi menolak suntikan imunisasi.

“Golongan yang menolak imunisasi ini berdosa kerana sudah melanggar perintah Tuhan supaya bersedia menghadapi perkara yang merosakkan atau membinasakan,” kata Asri.

Kontroversi vaksin timbul selepas kemunculan semula penyakit difteria di Malaysia yang melibatkan kematian.

Fathul Bari berkata beliau “tidak berani” memberikan hukum Islam mengenai vaksin.

“Bagi saya kita kena bagi kepada orang yang pakar, dan pakar itu tidak boleh kata orang yang tolak vaksin itu tak betul,” katanya.

Sementara itu, bagi doktor kanan Kumpulan Perubatan Penawar, Dr Zubaidi Ahmad, salah faham masyarakat dalam mendapatkan maklumat tidak sahih daripada sumber media sosial menjadi punca segelintir ibu bapa menolak pemberian vaksin kepada anak mereka.

Katanya, artikel berkaitan anti-vaksin mempunyai ciri sama, misalnya sumber diambil daripada bukan pakar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.