
Hashim berkata, usaha Umno melalui Tadika Kemas Pra Tahfiz ketika ini selari inisiatif PAS sejak awal 1980-an menerusi penubuhan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), yang menggunakan sistem pendidikan Islam serta Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK).
Katanya, pengalaman panjang Pasti dan Kemas wajar diambil kira oleh Kementerian Pendidikan dalam menilai semula cadangan kemasukan murid ke Tahun 1 pada usia enam tahun mulai sesi akademik 2027.
“Ini terutama mengambil kira isu kekurangan bilik darjah dan keupayaan institusi prasekolah sedia ada.
“Saya berharap Kementerian Pendidikan mencermati semula cadangan ini dengan mengambil kira peranan dan rekod kejayaan Pasti dan Kemas selama ini,” katanya di Facebook.
Hashim turut memaklumkan pertemuan dengan Dusuki turut disertai pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pengambilan murid Tahun 1 dari kanak-kanak seawal enam tahun ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 pada 20 Jan lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pada 21 Jan lalu memberi jaminan kapasiti sekolah, kemudahan sedia ada serta bilangan guru mencukupi bagi menampung peningkatan murid tahun depan.
Sementara itu, Hashim turut menyatakan harapan agar pertemuan tersebut menjadi asas kepada kerjasama lebih erat antara PAS dan Umno demi menjaga kepentingan Islam, bangsa Melayu, Dasar Pendidikan Nasional dan Dasar Bahasa Kebangsaan.
“Ini adalah tanggungjawab bersama. Kerjasama sesama mukmin perlu dilangsungkan dalam apa jua bentuk sebagaimana dituntut dalam Islam,” katanya.